KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dengan kurikulumnya dipelopori oleh pakar-pakar daripada cendekiawan tempatan dan antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya melalui Fakulti AI melaksanakan Malaysia AI Consortium terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh Malaysia.
Katanya, program tersebut bertujuan membawa Malaysia bergerak pantas menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global.
“Usaha sama ini menuntut kerjasama pelbagai pihak dan inilah langkah diambil oleh KPT melalui konsortium dalam mendepani kemajuan AI.
“Secara tidak langsung, pembangunan AI ini melibatkan keseluruhan ekosistem yang berkaitan termasuklah IPT, agensi kerajaan dan swasta serta industri berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Peluncuran Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Turut hadir majlis berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, ekonomi negara juga akan ditransformasi sebagai satu bentuk ekonomi baharu yang diintegrasikan dengan sistem AI bagi memacu pertumbuhan mampan dan berdaya saing.
Katanya, integrasi AI ke dalam pelbagai sektor di Malaysia merangkumi pendidikan, sistem sosial, pertanian, keselamatan makanan, ekonomi digital dan menangani cabaran kompleks seperti perubahan iklim, menekankan komitmen negara terhadap inovasi dan kemajuan.
“Melalui pendekatan kerajaan secara menyeluruh, Malaysia melakarkan hala tuju era baharu, bertekad untuk tidak ketinggalan tetapi menerajui agenda AI global, menjadikan ia sebagai hab terkemuka bagi pembangunan dan inovasi,” katanya.










