CUACA panas melampau berikutan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino memberi kesan kepada semua kehidupan.
Bukan sahaja manusia yang menerima kesan jika terdedah kepada cuaca panas melampau ini, malah haiwan dan tanaman turut terjejas.
Jika manusia akan mengalami masalah kekurangan air jika terdedah lama kepada cuaca panas, haiwan ternakan juga turut tidak terlepas.
Pemilik kuda di Padang Besar Selatan Kuala Perlis di sini, Muhammad Amin Hazwan Abdul Hamid, 26, berkata, dia terpaksa menggunakan kaedah atau rawatan `IV drip’ untuk menambah air dalam badan haiwan berkenaan yang mengalami dehidrasi.
Katanya, dia terpaksa menggunakan kaedah itu selepas melihat kudanya yang diberi nama Tommy, dalam keadaan lemah meskipun sudah minum air secara biasa.
“Saya memasukkan air menggunakan rawatan drip sebanyak 10 liter atau kira-kira 13 botol. Selepas melalui proses drip air antara lima ke enam jam, Tommy dilihat kembali segar dan bertenaga.
“Musim panas ini, bukan kita sahaja tidak tahan, haiwan juga tidak mampu bertahan terutama antara pukul 12 tengah hari sehingga 4 petang yang mana suhu boleh mencecah sehingga 39 darjah Celsius,” katanya.
Menurutnya, dia akan terus memantau perkembangan kuda-kudanya dan jika masih mengalami dehidrasi, air ditambah menggunakan rawatan drip. – UTUSAN










