Kuasa besar gila, hipokrit

Kuasa besar gila, hipokrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak pemimpin dunia Islam untuk menggembleng tenaga bersama-sama mengatasi cabaran di era pacsanormal khususnya dalam isu Islamofobia, diskriminasi dan hipokrasi kuasa besar.

Perdana Menteri menyifatkan sikap sesetengah kuasa besar tersebut sebagai satu kegilaan dan hipokrit yang hanya lantang bersuara dalam isu membabitkan Ukraine, namun membisu terhadap kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza.

Beliau juga mempersoalkan tindakan hipokrit sesetengah kuasa besar dunia yang lantang bersuara mengenai kemanusiaan, demokrasi dan hak asasi manusia tetapi membenarkan pelakuan jenayah genosid terhadap segmen masyarakat baik di Rwanda mahupun di Gaza.

“Ukraine menjadi pusat kepada dasar asing untuk Kesa­tuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS), namun begitu banyak toleransi dan penafian termasuk menerusi media arus perdana­nya yang mempersoal, di mana genosid, ketidakadilan (dalam isu Palestin) yang disuarakan dan ‘mantera’ mereka adalah 7 Oktober.

“Ini cabaran kepada saya dan anda semua sebagai profesor di universiti yang tidak semudah dibayangkan. Ia kompleks yang akan menuntut ketabahan. Kita tidak menentang sesiapa, tetapi mempromosikan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa, Qatar, semalam.

Anwar turut berkongsi pertemuannya dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani ketika beliau membangkitkan isu berkait ketidakadilan dunia menangani isu Palestin.

“Saya cukup terkesan apabila (Emir Qatar) menyatakan mengapa begitu banyak kerumitan, seperti saya cakap era pasca normal, sesetengah isu ditangani dengan simpati dan empati seperti di Ukraine dan Rwanda termasuk perjuangan Kongres Nasional Afrika (ANC) yang dikepalai oleh Nelson Mandela dan (isu) Tentera Republik Ireland tetapi tidak untuk rakyat Palestin baik ketika Pertubuhan Pembebasan Pa­lestin (PLO), Fatah atau Hamas.

“Jawapan (beliau) adalah Islamofobia. Prejudis yang timbul disebabkan kejahilan dan kebencian mengenai pegangan Islam.

“Oleh itu, idea mengenai kecintaan terhadap pengetahuan adalah untuk menghormati, kita (Muslim) tidak pernah dibesarkan untuk membenci Kristian, Yahudi atau Hindu sebab al-Quran sendiri menyatakan kita perlu kenal mengenal yang bukan sekadar berto­leransi, tetapi menjangkau jauh dari itu,” katanya.

Anwar Ibrahim ditemu bual dalam Forum Ekonomi Qatar di Doha, semalam. – AFP

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Qatar, kedua-duanya adalah negara yang mesra dengan negara bukan Islam lain seperti AS dan China.

“Jiran kami (Malaysia) di utara adalah (penganut) Buddha, Thailand, di selatan pula, Singapura dan lebih ke selatan, Indonesia yang didominasi Muslim. Filipina dominannya Kristian dan bergerak ke se­belah timur adalah China dominan Buddha, Confucius dan berfahaman komunis.

“Tiada beza antara kami ke­rana rasa hormat dan kerjasama merangkumi perdagangan, pelaburan dan kesefahaman budaya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa bertemu pemimpin utama pergerakan Hamas, Ismail Haniyeh dalam lawatan rasminya di Qatar.

Dalam pertemuan itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, Gaza.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia juga menggerakkan usaha lebih tangkas bagi membantu mangsa pe­perangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan masyarakat antarabangsa.

“Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan dan bersetuju dengan pelan pendamaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN