PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia membantu menyediakan tenaga mahir dalam kalangan graduan tempatan bagi memenuhi keperluan guna tenaga dalam sektor semikonduktor.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ia selaras komitmen kerajaan ke arah menjadikan negara sebagai hub semikonduktor pada masa depan.
Beliau berkata, pihaknya mengadakan perbincangan secara berperingkat dan menyeluruh dengan pelbagai kementerian mengenai bagi membantu negara memenuhi keperluan tenaga kerja itu.
“Kita mengadakan mesyuarat bersama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri selain Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia.
“Mesyuarat itu bagi memastikan perancangan penelitian kepada jumlah sebenar yang diperlukan bagi sektor-sektor diperlukan khususnya dalam elektrikal dan elektronik (E&E) da semikonduktor,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan KPT di sini, hari ini.
Katanya, perancangan itu penting memandangkan negara ketika ini rancak menerima pelaburan langsung asing (FDI) dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk tidak tunggu dan lihat.
Justeru, Zambry berkata, KPT perlu mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan supaya setiap perancangan dan setiap FDI akan datang selari dengan tenaga kerja diperlukan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) bertujuan memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih.
Menurutnya, antara intipati pelan tersebut antara lain menarik pelaburan sekurang-kurangnya RM500 bilion ke dalam negara menerusi FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI).
Sasaran lain ditetapkan termasuk melahirkan 10 syarikat dalam bidang reka bentuk dan pembungkusan termaju dengan hasil antara RM1 bilion hingga RM 4.7 bilion dan sekurang-kurangnya 100 berkaitan semikonduktor syarikat dengan pendapatan hampir RM1 bilion. – UTUSAN










