KPM segera kesan semula calon SPM 2023 tercicir

KPM segera kesan semula calon SPM 2023 tercicir

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera membuat pengesanan semula terhadap calon yang tercicir peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) 2023 bagi memberikan mereka peluang kedua.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil perhatian berkenaan calon yang tercicir atau tidak hadir peperiksaan SPM 2023.

“Antara langkah segera yang akan diambil KPM termasuk membuat pengesanan calon yang tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan secara ulangan.

“Intervensi ini telah dilaksanakan pada tahun lalu dan berjaya membuahkan hasil yang positif,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, negara berjaya mencatat Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023pada 4.60 dengan peratusan calon layak menerima sijil 93.5 peratus.

“Seramai 11,713 orang calon berjaya memperoleh gred semua A. Keputusan ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kehadiran baik di dalam peperiksaan SPM 2023 adalah hasil intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Dari segi kehadiran untuk menduduki peperiksaan, seramai 373,525 orang calon (97.4 peratus) telah menduduki peperiksaan SPM 2023.

“Jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan telah berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lalu,” jelasnya.

Tambahnya, KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 merupakan pemangkin dalam usaha berterusan untuk mereformasikan pendidikan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN