KPM ulangi jaminan tiada SJKT ditutup di bawah Kerajaan Madani

KPM ulangi jaminan tiada SJKT ditutup di bawah Kerajaan Madani

FADHLINA Sidek (empat dari kanan) ketika menyaksikan penyerahan replika cek pembinaan blok gantian penuh SJKT Sungai Bakap berjumlah RM12.6 juta pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan pecah tanah sekolah itu di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak ada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sebaliknya, tumpuan akan diberi kepada aspek pembangunan, penyelenggaraan serta program pengukuhan antara guru dan pelajar di semua sekolah tanpa sebarang pengecualian.

“Saya berpegang kepada penegasan yang dibuat sebelum ini kerana saya fikir masih ada lagi dalam kalangan masyarakat kita yang memberikan pandangan bahawa sekolah-sekolah ini (SJKT) akan ditutup dan sebagainya.

“Di bawah Kerajaan Madani ini, tidak ada sekolah termasuk SJKT yang akan ditutup,” tegas beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah SJKT Sungai Bakap di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Exco kerajaan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo serta beberapa kenamaan lain.

Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau lega kerana projek pembinaan SJKT Sungai Bakap yang tertangguh atas pelbagai faktor sejak sekian lama itu akhirnya disambung semula.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, pembinaan bangunan sekolah ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Didik Negara dalam tempoh 56 minggu manakala kerja-kerja pembinaan itu pula akan dipantau oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

“Jadi, SST hari ini adalah sangat penting untuk Sungai Bakap khususnya dan sejarah SJKT Sungai Bakap itu sendiri kerana pembinaan bangunan sekolah baharu ini adalah berkait dengan pendidikan untuk anak-anak kita,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo memberitahu, kerajaan negeri berterima kasih kepada KPM kerana menyambung semula kerja-kerja pembinaan sekolah tersebut yang terhenti sejak lebih tujuh tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM12.6 juta.

Katanya, pembinaan sekolah baharu itu perlu memandangkan bangunan sekolah yang sedang diduduki ketika ini sudah usang selain mampu memberi manfaat kepada ramai komuniti India yang tinggal di kawasan sekitar Sungai Bakap.

Difahamkan, antara faktor yang menyebabkan kerja-kerja pembinaan sekolah itu tertangguh sebelum ini adalah disebabkan oleh kekangan kewangan serta pertikaian perundangan termasuk isu pengambilan tanah dan sebagainya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×