KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi setelah merampas 13,270 liter bahan bakar tersebut yang bernilai RM116,800 dalam dua serbuan berasingan di Kerteh, di sini, dan Bukit Besi, Dungun, kelmarin.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, seramai empat individu termasuk pemilik sebuah stesen minyak yang berusia 20 hingga 70 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan dalam Ops Tiris 3.0 itu.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada pukul 12 tengah hari, pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu menyerbu sebuah stesen minyak di Kerteh dan menahan sebuah lori yang diubah suai untuk mengisi diesel sebelum dijual di pasaran gelap.
“Dalam serbuan pertama, iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, kita telah menyerbu sebuah stesen minyak di Kerteh selepas risikan selama dua bulan dilakukan dan modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori yang telah diubahsuai dengan tangki tambahan yang dapat menampung anggaran 270 liter diesel.
“Lori tersebut membeli diesel subsisi di stesen-stesen minyak sekitar Kerteh dan Paka sebelum dijual semula di pasaran gelap,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Saharuddin memberitahu, pihaknya telah menyita lori tersebut dan menahan tiga lelaki iaitu pemandu lori, juruwang dan pemilik stesen minyak.
“Nilai keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dalam serbuan pertama itu dianggarkan berjumlah RM54,000,” katanya.
Saharuddin berkata, dalam serbuan kedua kira-kira pukul 4 petang, pada hari sama, pihaknya menyerbu sebuah tapak pembinaan di Bukit Besi yang dipercayai menggunakan minyak diesel tanpa permit.
“Kita telah merampas 13,000 liter minyak diesel di dalam sebuah tangki yang dianggarkan bernilai RM62,800 dan menahan seorang penyelia tapak pembinaan berusia lingkungan 60 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menambah, kes rampasan diesel bersubsidi itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










