PONTIAN: Konsesi penyelenggaran jalan, Teto Engineering Sdn. Bhd. diberikan tanggungjawab oleh Jabatan Kerja Negeri (JKR) Johor bagi menyelenggara jalan dari Jambatan Sungai Pulai menghala Pontian.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemaju projek jalan tersebut, Seaport Worldwide Sdn. Bhd. telah menyerahkan kepada JKR Johor baru-baru ini.
Katanya, dengan penyerahan jalan itu, bermakna kerja-kerja penyelenggaran terletak di bawah JKR di mana Teto Engineering Sdn. Bhd. dilantik sebagai konsesi penyelenggaran jalan.
“Saya mengesahkan maklumat ini setelah berhubung dengan Pengarah JKR Johor, Ir. Abu Bakar Abd. Aziz dan Jurutera JKR Daerah Pontian, Ir. Saharuddin Ismail”, katanya ketika ditemui selepas meraikan 159 bakal haji bagi kawasan Parlimen Pontian di Dewan UMNO Pontian, semalam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika diminta isu kerosakan jalan di kawasan tersebut sehingga menimbulkan rungutan dan keresahan penggunan yang melalui jalan tersebut.
Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer (km) itu dibina dengan kos RM800 juta pada 2017 telah dibuka sepenuhnya pada 19 Januari tahun lalu oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Projek tersebut merupakan kerjasama awam-swasta membabitkan Seaport Worldwide Sdn. Bhd., ahli kumpulan MMC Corporation Berhad yang dibina merentasi Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah ke Pontian. – UTUSAN










