‘Kita setaraf Korea Selatan, Jepun di Arab Saudi’

‘Kita setaraf Korea Selatan, Jepun di Arab Saudi’

Noordin Othman bersama ahli keluarganya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di Madinah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Lebih 10 tahun bermastautin di Madinah, tidak sedetikpun menghilangkan rasa cinta Dr. Noordin Othman kepada tanah air.

Malah, bagi anak jati Kelantan ini, kehidupan di Arab Saudi yang berlatarbelakangkan perbezaan adat dan budaya hakikatnya menambahkan rasa bangga dengan kemampuan rakyat serta negara sendiri.

Menurut pensyarah di Universiti Taibah ini, kelembutan, kepatuhan dan kebaikan orang Malaysia terutama ketika mengerjakan ibadat haji serta umrah meningkatkan rasa hormat kerajaan serta rakyat Arab Saudi.

“Kita setaraf Korea Selatan dan Jepun di sini. Masyarakat dan kerajaan Arab Saudi mengiktiraf kita lebih-lebih lagi apabila memperkatakan tentang kepatuhan kepada undang-undang serta peraturan di negara ini.

“Justeru, jangan ada yang cuba merosakkan imej sedia ada dengan melanggar peraturan Arab Saudi lebih-lebih lagi dengan isu berkaitan umrah dan haji. Ikut sahaja arahan yang telah dikeluarkan oleh mereka,” katanya.

Noordin merupakan satu-satunya anak Melayu di Universiti Taibah dan mengajar kursus ijazah doktor falsafah dalam bidang farmasi.

Hanya terdapat dua universiti di Madinah iaitu Universiti Islam Madinah dan universiti tempat beliau mengajar.

Menceritakan semula detik tiba di negara tersebut, Noordin berkata, kesabaran amat dituntut ketika berada di kota yang penuh barakah itu.

Menurutnya, dia pernah berdepan pengalaman menarik ketika mula sampai di Madinah.

“Pada masa itu, saya datang untuk berurusan di sebuah pejabat. Apabila saya beritahu saya dari Malaysia, ramai pekerja yang bangun dan mahu membantu saya.

“Mereka sangat menghormati kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noordin berkata, dia masih ingat lagi ketika mula-mula sampai di universiti tersebut dan menghadapi sedikit masalah apabila semuanya dalam bahasa Arab, dari segi percakapan sehinggalah papan tanda.

“Hinggakan saya tidak dapat membezakan yang mana satu bilik pensyarah dan makmal. Hampir semua kakitangan hanya bertutur dalam Bahasa Arab,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×