Khairul Ridzuan, Che Wan Atika Putri menang Anugerah Perdana Belia - Utusan Malaysia

Khairul Ridzuan, Che Wan Atika Putri menang Anugerah Perdana Belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bendahari Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu, Mohd. Khairul Ridzuan Muhammad, 34, muncul pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2024.

Sementara itu, ahli perniagaan, Che Wan Atika Putri Che Wan Rashid, 26, pula diumumkan sebagai pemenang anugerah sama bagi kategori wanita.

Kejayaan itu membolehkan Mohd. Khairul Ridzuan dan Che Wan Atika Putri masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Mohd. Khairul Ridzuan yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta berkata, kejayaan itu menaikkan lagi semangatnya untuk terus berkecimpung dalam dunia sukarelawan dan aktif dalam aktiviti kelab serta persatuan.

Katanya, dia mula terlibat dengan program sukarelawan sejak di bangku sekolah dan kini banyak mengadakan program motivasi bersama pelajar sekolah di seluruh negeri.

“Akvititi sukarelawan sudah lama menjadi minat saya dan kini saya aktif membantu pelajar membuat persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Sebab itu saya menyertai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sehingga kini saya giat memberi motivasi kepada pelajar agar memiliki sijil akademik yang bagus.

“Saya sering tekankan kepada mereka agar menceburi kelab dan persatuan untuk belajar sifat kepimpinan dan mengenalpasti potensi dalam diri mereka,” katanya.

Che Wan Atika Putri yang merupakan Ahli Jawatankuasa GPMS Kuala Nerus berkata, dia juga bertekad untuk meneruskan khidmat bakti membantu golongan belia dan asnaf yang kurang berkemampuan di kawasan luar bandar.

“Selain membantu belia di pelusuk kampung, saya juga menggunakan duit poket sendiri bagi sumbangan keperluan asas kepada belia di Indonesia dan Thailand,” katanya.

Mereka ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Payang Walk, sini, malam tadi.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd. Azhari Mohammad.

Sementara itu, Kelab Belia Kampung Gunung memenangi Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu bagi kategori pertubuhan belia.

Kelab belia dari Hulu Terengganu itu yang aktif dalam perusahaan kebun nanas membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN