PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan berlaku satu insiden letupan di tempat pemeriksaan zon keselamatan di Tha Phraya Sai, Wilayah Narathiwat, Thailand, semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 9.35 malam waktu tempatan itu mencederakan dua orang rakyat Malaysia dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Naradhiwas Rajanagarindra.
Wisma Putra memaklumkan, kedua-dua mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada hari ini.
“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, serta mengikuti perkembangan terkini.
“Ikuti nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Terdahulu, insiden letupan bom motosikal di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat itu turut mengakibatkan enam lagi individu mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu berusia antara 20 hingga 30-an. – UTUSAN










