HULU SELANGOR: Kerajaan bakal meningkatkan kekerapan bas awam terutama di kawasan-kawasan pendalaman bagi mengatasi masalah pengangkutan penduduk.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha tersebut sedang dijalankan oleh kerajaan Pusat.
Menurut beliau, kerajaan memberi perhatian kepada masalah pengangkutan yang dihadapi oleh penduduk terutama di kawasan pendalaman.
“Umpamanya di Kuala Kubu Baharu ini ada pekan, bandar baru, kampung dan taman perumahan. Jadi memang kita melihat ada keperluan untuk (memperbanyakkan) bas dan ia disambungkan dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM).
“Di sini ada satu stesen KTM yang boleh terus pergi ke Lembah Klang atau Kuala Lumpur, jadi kita mengharapkan bahawa pengantaraan atau integrasi antara pengangkutan awam ini akan diperbaiki,” katanya ketika hadir ke Fazlina Maju Bistro, di sini.
Turut hadir sama adalah Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han dan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.
Mengulas lanjut, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata, kerajaan akan terus mengusahakan kemudahan-kemudahan itu sekiranya wakil rakyat itu dipilih daripada kerajaan.
“Memang kita akan cuba memperbaiki kemudahan terutama komunter daripada kawasan Kuala Kubu Baharu ini ke Lembah Klang.
“Sekarang ini kekerapan kita sudah tambah selama 15 minit untuk laluan Tanjung Malim ke Kuala Lumpur tetapi memang ada sedikit gangguan baru-baru ini disebabkan isu landasan dan sebagainya,” jelasnya.
Tambahnya, usaha untuk menyelesaikan masalah pengangkutan bukan sahaja daripada kerajaan Persekutuan tetapi juga daripada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga ada usaha untuk memperbaiki atau memperbanyakkan (pengangkutan awam), umpamanya perkhidmatan bas Smart Selangor,” katanya. – UTUSAN










