KUALA LUMPUR: Kejohanan Toyota Tour eGolf 2024 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000 kepada para pemenang.
Berlangsung di MST Golf Arena di pusat beli-belah The Garden di sini, kejohanan indoor yang diadakan selama lima bulan bermula April lalu turut menawarkan hadiah wang tunai secara bulanan.
Selain di Kuala Lumpur, kejohanan ini turut diadakan di Selangor, Johor dan Pulau Pinang secara serentak.
Bagi memeriahkan Kejohanan Toyota Tour eGolf 2024, syarikat pengeluar produk sukan seperti Under Armour tampil sebagai penaja bagi kejohanan bulan Mei selepas Taylor Made muncul sebagai penaja bagi kejohanan bulan lalu, sementara Cobra-Puma sebagai penaja kejohanan bagi bulan Jun.
Pada kejohanan kali ini, dua pemain profesional, Daeng Rahman dan Casper Loh yang dilantik sebagai duta Under Armour turut ditampilkan bagi menarik lebih ramai penyertaan anak muda untuk merebut hadiah selain memperkembangkan sukan golf dalam kalangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MST Golf Berhad, Ng Yap berkata, kejohanan itu bagi memberi peluang kepada pemain amatur atau yang baru hendak mula bermain merasai keseronokan memukul bola dan mencuba nasib memenangi hadiah menarik.
“Ia bertepatan dengan kejohanan lain di seluruh dunia selari dengan kemudahan pusat golf yang menggunakan teknologi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K. Ravindran berkata, permainan menggunakan golf simulator merupakan salah satu usaha mereka mendekati masyarakat selain pembikinan kenderaan.

Dalam pada itu, Daeng Abdul Rahman, 24, berkata, permainan golf simulator kelihatan mudah, namun ia amat mencabar untuk permainan pendek dan ketika putting.
“Golf secara indoor boleh main dalam pendingin hawa, tidak perlu caddy, buggy dan memikul beg. Ia amat selesa dan semua orang berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan,” katanya.
Casper, 24, pula memberitahu, pemain boleh memilih padang yang dikehendaki melalui golf simulator.
“Jadi, ia boleh berlatih sebelum memasuki pertandingan dalam kejohanan Toyota Tour ini,” katanya yang selesa memakai pakaian Under Armour. – UTUSAN










