‘Keahlian saya sudah lama gugur’

‘Keahlian saya sudah lama gugur’

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menyifatkan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah lama gugur dan beliau tidak peduli dengan sebarang ‘ugutan’ yang dikeluarkan oleh parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suhaili berkata, ini kerana beliau telah melanggar perlembagaan parti itu yang membawa perihal berkaitannya ke mahkamah.

Ia berdasarkan perkara di bawah fasal 10.2 dan 10.2.6 Perlembagaan Bersatu yang menjelaskan mana-mana ahli yang merujuk kes berkaitan parti ke mahkamah boleh secara serta-merta terhenti keahliannya.

“Kalau ikutkan nak gugur keahlian, saya sudah lama gugur. Sebab Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin gantung saya enam tahun dan saya heret perkara itu ke mahkamah pada Disember 2023.

“Tetapi perkara itu tidak disuarakan Bersatu, mereka takut, sebab itu mereka diam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Bersatu menggantung keahlian Suhaili selama enam tahun termasuk kesemua jawatan yang disandangnya dalam parti.

SUHAILI ABDUL RAHMAN

Tindakan itu selepas Suhaili sebelum ini mengisytiharkan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suhaili kemudian mengeluarkan saman kerana memfitnahnya atas dakwaan menerima sogokan sehingga RM6 juta kerana menyokong kerajaan.

Suhaili berkata, sepatutnya notis tersebut dikeluarkan terlebih dahulu kepada ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Zulkarnain Abdul Khalid berikutan tindakannya yang menyokong Perdana Menteri lebih awal daripadanya.

“Jadi, kenapa saya yang kena terima notis itu dulu? Cuma saya nak beritahu yang saya tidak hairan dengan notis tersebut. Dalam kalangan kami, tidak pun ada kata apa-apa, tetapi bila kami diam, Bersatu pula yang lebih.

“Tidak perlu tunggu selesai Pilihan Raya Kecil (Kuala Kubu Baharu), keluarkan sahaja notis itu sekarang, lambat atau cepat pun tidak guna. Saya tidak akan berpatah balik jua,” katanya lagi.

Kelmarin, Zainuddin dlaporkan berkata, Suhaili akan menjadi individu pertama yang akan menerima notis gugur keahlian parti apabila beliau hadir berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) dalan Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.

Turut dikesan ialah dua lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Dzulkafperi Hanapi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, mereka didapati berkempen bagi calon parti lawan sedangkan Bersatu meletakkan calon Khairul Azhari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN