KBS minta persatuan sukan ambil berat keselamatan atlet - Utusan Malaysia

KBS minta persatuan sukan ambil berat keselamatan atlet

HANNAH Yeoh (dua dari kanan) turun padang bagi meninjau keadaan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, yang selesai menjalani proses naik taraf.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta persatuan sukan di negara ini mengambil berat tentang keselamatan atlet-atlet mereka agar sentiasa berada dalam keadaan terjamin.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS sebelum ini turut melancarkan Kod Sukan Selamat di mana ia merupakan usaha bagi mewujudkan persekitaran selamat buat para atlet untuk bersukan.

Hannah berkata, KBS juga meminta kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membantu memastikan keselamatan atlet dapat dijaga dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk atlet yang akan bertanding umpamanya seperti bola sepak, kita juga telah minta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperketatkan aspek keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, menerusi Lawatan Kerja KBS ke Perlis, hari ini.

Hannah berkata demikian ketika ditanya mengenai aspek keselamatan atlet di negara ini susulan beberapa kes yang berlaku sebelum ini antaranya membabitkan serangan ke atas beberapa pemain bola sepak negara.

Selain itu, atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, turut mengalami cedera parah apabila dilanggar kenderaan yang dipercayai dipandu secara melulu dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai kes berkenaan, Hannah berkata, pihaknya memohon agar siasatan melibatkan kes Siti Nurul Masyitah itu dapat dijalankan secara menyeluruh dan diambil tindakan segera.

“Siasatan berkenaan perlu dijalankan segera dalam usaha bagi melindungi nasib atlet-atlet yang merupakan aset kepada negara ini dan saya percaya ramai menantikan hasil siasatan tersebut,” katanya.

Tambah Hannah, beliau juga berharap agar setiap atlet yang akan mewakili negara pada temasya Sukan Olimpik Paris pada tahun ini dapat menjaga dan memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Ini adalah berikutan KBS telah menyalurkan banyak duit dan dana sebagai persediaan mereka bagi menghadapi cabaran dalam kejohanan tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini