SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas lebih 700,000 batang rokok putih dan 216 tin minuman keras dipercayai diseludup masuk ke negara ini dalam dua serbuan di Shah Alam, Selangor bulan ini.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, serbuan pertama dilakukan di kantin sebuah penempatan pekerja asing di Shah Alam kira-kira pukul 8 malam hasil maklumat orang awam.
Dalam serbuan itu, katanya, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri ini memeriksa sebuah kereta jenis Hyundai Accent dan menemukan sebanyak 14,500 paket mengandungi 288,800 batang rokok putih pelbagai jenama dan saiz.
“Pasukan itu turut menemukan 216 tin bir pelbagai jenama dan saiz yang mana kesemua rokok dan minuman keras itu adalah barangan larangan import kastam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya menahan seorang warganegara Bangladesh untuk siasatan lanjut.
Susulan serbuan itu, katanya, pasukan itu menyerbu sebuah rumah banglo tiga tingkat di Setia Alam dekat Shah Alam.
Katanya, hasil pemeriksaan rapi, pasukan itu menemukan sejumlah 31,986 paket yang mengandungi 485,000 batang rokok putih pelbagai jenama dan saiz disyaki barangan larangan import kastam.
“Jumlah keseluruhan nilai sitaan rokok, bir dan kereta di kedua-dua lokasi serbuan termasuk cukai adalah dianggarkan sebanyak RM623,137. Kesemua barang tersebut telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke JKDM Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Beliau memberitahu, tertuduh warganegara Bangladesh itu direman selama 14 hari dan didakwa di Mahkamah Shah Alam.
Muhammad Ilyas Queek berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyeludup dan menyimpan rokok dan minuman keras di kawasan penempatan warga asing dan banglo yang disewa sebelum diedar serta dijual kepada warga asing yang lain.
Tambahnya, pihaknya percaya ia dijual pada harga 20 peratus hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. – UTUSAN










