'Kantoi' sejam isi diesel dalam lori ubah suai - Utusan Malaysia

‘Kantoi’ sejam isi diesel dalam lori ubah suai

Seleweng diesel
LORI tangki yang dikesan menyeleweng diesel subsidi di stesen minyak sekitar Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan seorang pemandu lori tangki mengisi diesel selama hampir sejam membongkar cubaan menyeleweng minyak itu di sebuah stesen minyak di sekitar daerah ini, kelmarin.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai melakukan sebanyak 12 kali transaksi pembayaran untuk mengisi minyak di pam yang sama sebelum tindakannya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, susulan risikan tersebut pihaknya menyerbu premis berkenana dan menahan suspek dalam Ops Tiris 5.0, kira-kira pukul 1 tengah hari.

Menurutnya, pemandu tersebut mengisi minyak dalam kawasan hotspot pada lorinya yang diubahsuai pada struktur badan bagi membuat pengisian bahan diesel yang dibeli di stesen minyak sama ada penyelewengan atau menjualnya demi mengaut keuntungan. 

“Semakan ke atas cetakan resit yang dikeluarkan premis serbuan mengesan terdapat pengisian mencecah ribuan liter  dilakukan. Kita kemudian mengeluarkan arahan pengisytiharan maklumat dan dokumen kepada pemandu lori serta stesen minyak tersebut,” katanya, hari ini.

Jelasnya, pemandu lori itu ditahan bersama dua lelaki warga Bangladesh berusia 30-an yang juga pekerja stesen minyak terbabit bagi membantu siasatan.

“Selain lori tangki itu, bahan api disyaki diesel (dalam kenderaan itu) dan dokumen perniagaan atau urus niaga disita bagi tindakan lanjut.

“Anggaran keseluruhan bahan api itu mencecah 10,000 liter dengan nilai subsidi berjumlah puluhan ribu ringgit manakala jumlah keseluruhan sitaan hampir RM500,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahran memaklumkan siasatan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu memfokuskan dalam mengenal pasti individu, syarikat dan rantaian pengedaran bekalan diesel subsidi termasuk sumber bekalan utamanya.

“Kesalahan lori itu antaranya melibatkan Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 iaitu memindah atau menyimpan barang kawalan di tempat tidak berlesen selain memilikinya dengan niat melakukan kesalahan.

“Bagi stesen minyak pula, kesalahan itu disiasat mengikut Peraturan 12A iaitu melanggar arahan pengawal bekalan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN