Kami sudah biasa - Tilly Birds tak risau cuaca panas melampau di Thailand - Utusan Malaysia

Kami sudah biasa – Tilly Birds tak risau cuaca panas melampau di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cuaca panas ekstrim yang melanda Thailand masa sekarang tidak menghalang band terkenal, Tilly Birds untuk membuat persembahan di kawasan terbuka.

Ujar mereka, sebagai warga negara tersebut, mereka sudah terbiasa dengan keadaan cuaca seperti itu justeru tidak bermasalah untuk terus menghiburkan peminat di bawah panas terik.

“Kami sejak April lepas berturut-turut membuat persembahan di kawasan terbuka, dalam kebasahan peluh kerana keadaan cuaca yang agak panas ketika ini.

“Malah sambutan perayaan Songkran baru-baru ini tidak membantu menyejukkan persekitaran.

“Tapi kami sudah biasa, jadi tak menjadi masalah untuk berdepan cuaca begini,” ujar penyanyi utama, Anuroth Ketlekha ketika ditemui sempena sidang media Banyak Bagus Festival 2024, baru-baru ini.

Tilly Birds yang dianggotai Anuroth, Nutdanai Chuchat dan Thuwanon Tantiwattanaworakul   antara band antarabangsa yang diterbangkan ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena festival berkenaan.

Banyak Bagus Festival 2024 turut dimeriahkan dengan kemunculan bintang tempatan dan antarabangsa lain seperti Jaclyn Victor, Aisha Retno, Dolla, Lyodra dan Fabio Asher (Indonesia), Ben & Ben (Filipina) dan ramai lagi.

Kerajaan Thailand baru-baru ini mengeluarkan amaran cuaca panas ekstrim dengan jumlah kematian akibat strok haba meningkat kepada 61 kes sejak awal tahun ini.

Sementara itu, pemain gitar kumpulan berkenaan, Nutdanai Chuchat memaklumkan kesemua anggota Tilly Birds sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan sedia berdepan sebarang kemungkinan ketika membuat persembahan.

“Sebenarnya yang menjadi cabaran kepada kami adalah membuat persembahan dalam keadaan cuaca sejuk disebabkan kami sudah terbiasa dengan cuaca panas,” kongsinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN