PASIR SALAK: Juruterbang pesawat dinasihat membuat persediaan termasuk mengkaji keadaan cuaca sebelum melakukan penerbangan supaya perjalanan selamat dan teratur.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, juruterbang perlu mendapatkan nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memastikan penerbangan selamat.
“Sejak saya menjawat jawatan Ketua Polis Perak, ada empat kejadian nahas pesawat yang berlaku di negeri ini dan kita dapat selesaikan kes-kes ini menerusi siasatan yang dibantu agensi-agensi lain.
“Saya nasihatkan juruterbang membuat persiapan terutama mengkaji atau mendapatkan nasihat daripada Jabatan Meteorologi sebelum melakukan penerbangan supaya penerbangan selamat dan teratur,” katanya.
Mohd. Yusri berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjurannya di Dewan MPTI Langkap, di sini hari ini.
Mohd. Yusri yang mula menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Perak pada Ogos 2022, terlibat dalam siasatan empat kes nahas pesawat di negeri ini.
Ia melibat kes pesawat ringan Piper-28 yang terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, Ipoh pada 1 Ogos yang menyebabkan jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera.
Kejadian kedua pada September 2022, seorang juruterbang warga Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan maut selepas pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta yang dikendalikannya terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor, Perak.
Pada 23 April lalu, dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas selepas bertembung semasa raptai Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Kejadian membabitkan helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec itu mengorbankan 10 kru dan penumpang.
Semalam, sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk terhempas berhampiran Felda Gunung Besout, Sungkai.
Nahas sekitar pukul 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka.
Kejadian berlaku ketika pesawat dikendalikan mangsa sedang menjalani latihan penerbangan. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor sebelum berpatah balik ke Ipoh. – UTUSAN










