SEPANG: Jemaah negara ini yang tiada memiliki permit haji dinasihatkan agar jangan sekali-kali cuba memasuki tujuh kawasan larangan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mereka tanpa ada permit tersebut dilarang memasuki kawasan yang juga dikenali sebagai Masyair iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina sepanjang musim haji itu.
Lokasi berkenaan jelasnya, merupakan antara zon larangan ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi bagi individu tiada visa haji walaupun rakyat tempatan sendiri.
Pewartaan itu berkuat kuasa dari 2 sehingga 20 Jun nanti dan mereka yang berdegil cuba juga menyelinap boleh dikompaun 10,000 riyal (kira-kira RM12,646) bagi satu kesalahan.
Rakyat asing yang ingkar malah boleh ditangkap serta didenda 50,000 riyal (RM63,230) atau penjara maksimum enam bulan sebelum namanya itu disenarai hitam dan diusir keluar.
“Pihak TH memang sentiasa beri peringatan menerusi siri kursus yang dianjurkan dengan tekan aspek pematuhan undang-undang untuk jemaah haji di bawah seliaan TH,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Terdahulu, beliau dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain menyantuni kumpulan pertama 282 jemaah Malaysia berlepas ke tanah suci awal hari ini.
Mengulas lanjut, walaupun Mohd. Na’im tidak menyatakan secara spesifik kepada pihak tertentu, beliau dipercayai merujuk kumpulan jemaah yang pergi tanpa dikawal selia TH termasuk mereka yang mengembara dengan kenderaan sendiri atau menyalahgunakan visa umrah untuk tinggal lebih masa.
“Saya hendak memastikan semua rakyat kita tolong jaga imej baik Malaysia dengan patuh peraturan diwartakan Arab Saudi sebab urusan haji ialah fokus untuk ibadah,” tambahnya. – UTUSAN










