Jemaah jangan bimbang, Tabung Haji ada pelan kecemasan hadapi bencana

Jemaah jangan bimbang, Tabung Haji ada pelan kecemasan hadapi bencana

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji mempunyai pelan kecemasan sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana sekiranya berlaku di Tanah Suci semasa musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu demi keselamatan jemaah Malaysia sentiasa terjamin ketika pelaksanaan ibadah itu.

Beliau berkata, penyediaan pelan itu dibincangkan bersama Kerajaan Arab Saudi agar ia mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan negara berkenaan, tanpa mengambil tindakan sendiri.

“Tabung Haji dengan saya secara peribadi dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah sentiasa berhubung, dan jaminan yang kita berikan apa saja bentuk musibah, Kerajaan Arab Saudi  sentiasa bersedia tentang pelan alternatif itu.

“Apa yang penting keselamatan jemaah haji Malaysia menjadi keutmaaan Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia.

“Penerbangan pertama Malaysia adalah pada 9 Mei ini, kita akan dapat maklumat terus dari Kerajaan Arab Saudi selain daripada konsul haji Malaysia di sana. Saya diberi taklimat setiap hari perkembangan di sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Semarak Aidilfitri Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dua hari lalu berlaku banjor susulan hujan lebat melanda bahagian utara Arab Saudi sehingga memaksa penutupan sekolah dan jalan manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) mengeluarkan amaran perjalanan.

Laporan Sky News dan media lain yang tular di laman media sosial menunjukkan banjir kilat yang bermula pada Isnin melanda wilayah Al-Ula dan Madinah menyebabkan banyak kenderaan hampir tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Malaysia menjadi negara pertama mendapat pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini, Mohd. Naim berkata, keistimewaan itu adalah berdasarkan sikap jemaah Malaysia sendiri yang berdisiplin sehingga mendapat pujian negara itu.

Apatah lagi, katanya, Arab Saudi juga akan melihat Malaysia sebagai keutamaan untuk memberikan tambahan kuota jemaah haji jika ada kekosongan.

“Jadi saya harap sangat jemaah haji kita berdisiplin, jaga nama baik dari semua sudut.

“Kita pergi sana niat jelas untuk lakukan ibadah haji dan saya harap para jemaah menggunakan ilmu pengetahuan yang diberikan semasa kursus haji untuk memastikan haji itu sempurna.

“Jangan sekali-kali terlibat dalam apa-apa sahaja perbuatan dan kegiatan yang boleh melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Bila kerajaan Arab Saudi beri keutamaan kepada kita, kita kena balas baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN