Ingin menjadi segala-galanya

Ingin menjadi segala-galanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malim duduk menekuni beberapa naskhah majalah ekopelancongan. Pada masa sama, minda Malim tertumpu kepada satu kesimpulan. Secara sedar atau tidak, Malim sudah merasakan kini semua orang sudah berada dalam lingkungan pengaruh penggunaan peranti secara meluas, yakni merentas darjat, usia, masa dan situasi.

Malim sedar sangat tentang fenomena kebanjiran peranti yang melanda dunia ketika ini, tidak terkecuali seputar kehidupannya, yang sudah berlangsung sekian lama.

Di sudut kamar yang menempatkan meja kecil dengan komputer meja dan pencetak mini, Malim terus-terusan menyelak majalah ekopelancongan itu. Ada yang ditatapnya agak lama, sementara kebanyakan helaian dibacanya mukadimah dan isi secara tebukan. Ada ketika, tumpuannya tertancap kepada keindahan alam serta flora fauna di lokasi yang menjadi pilihan jurufoto dan wartawan. Ah! Malim terasa dirinya amat daif. Apakah dia ketinggalan ilmu ataupun majalah itu terlalu ke hadapan melangkaui masa?

Malim memacu kekuatan otaknya, mengingat pelbagai fungsi peranti yang dimilikinya, juga peranti milik semua orang.

****
‘Akukah yang ketinggalan atau majalah ini yang terlalu maju?’ Malim kembali memikirkan soalan asas yang mengetuk kognitifnya.

Dalam satu pertemuan santai dengan kawan-kawan sepersatuan, isu yang sama pernah berbangkit tanpa diduga, timbul perbincangan yang agak hangat.

Saran Jasni, “Kau tulislah apa-apa asalkan jelas tentang kebenaran, bersandarkan pengalaman kau.”

“Aku setuju sangat. Memang semuanya berasaskan kebenaran, bukan kebatilan. Yalah, kau coretkanlah kisah benar tetapi dengan olahan kreatif, kau ‘kan mahir bab kreatif!”

“Jas, masalahnya, apabila aku tinjau kandungan majalah itu, aku rasa tak mampu menyamai idea beberapa wartawan profesional, walaupun aku rasa aku serius juga bab penulisan berbentuk laporan, selain kreatif-imaginatif!”

“Maksud aku, hampir setiap makalah terasa berat, bermula daripada tajuk lagi. Aku baca lalu aku malu kepada diri aku sendiri!”

“Kenapa Mal? Maksud kau?” Jasni berasa tidak selesa kalau tidak mendapat penjelasan.

“Majalah itu memang sahih bagus, kemas pengisiannya, tinggi ilmu geografi, sejarah dan budayanya.. Masalahnya, aku yang tenggelam timbul dalam pengolahan. Sesekali aku fikir, apakah aku tersalah bidang?”

Malim terbawa-bawa fikiran taksubnya ketika memacu diri untuk berkarya. Pengajiannya semasa di kampus adalah bidang bahasa, tertumpu pada aspek pedagogi dan andragogi. Bidang minornya sastera dalam pendidikan.

Kemenjadiannya sebagai guru bahasa sambil mendekati sastera secara praktis sentiasa mendapat perhatian rakan-rakan dalam panitia.

“Kalau Cikgu Malim rasa sudah berada di landasan yang betul, apa yang menjadi kepayahan mencari ruang dalam majalah itu?” Cikgu Farihah, Ketua Panitia Bahasa Melayu pernah menjentik minda Malim dalam sembang seusai mesyuarat jawatankuasa pertandingan pantun peringkat sekolah.

“Saya tak terkejarlah kandungan majalah itu, tinggi ilmunya, Cikgu Farihah. Terasa diri saya terasing. Bukan masalah pada majalah itu tetapi saya sendiri, mungkin terlalu menumpu kepada kerja sekolah.” Malim barangkali sekadar berhelah.

“Walaupun bahasa ialah bidang utama Cikgu Malim, dikukuhkan lagi bidang sastera, tidak jadi masalah kalau Cikgu Malim menulis tentang ekopelancongan. Isunya hanya olahan tentang lokasi pelancongan dengan pendekatan santai.” Nada dorongan oleh Cikgu Farihah terasa lunak menusuk ke dalam minda Malim.

Bicara sedemikian tidak berakhir di situ sahaja. Pada waktu lain, dalam satu bengkel penulisan di peringkat daerah, Malim sempat memahat arca kekagumannya terhadap seorang pembimbing dari Kuala Lumpur.

Pembimbing itu ternyata hebat ketika menyampaikan panduan atau tips penulisan di mana-mana bengkel kendaliannya.

“Selain kita kena jaga estetika karya kita, kita juga mesti menjaga etika ketika menghasilkan karya. Jangan sama sekali menciplak karya orang lain,” ujar mentor yang sangat dikagumi itu.

Malim, Jasni, Khairul, Syirah, Norain dan beberapa lagi yang hadir dalam bengkel tekun mendengar pesan, saran, dan petua yang disampaikan oleh mentor. Malim terfikir ilmu penulisan secara umumnya hampir sama, cuma barangkali penekanannya berbeza mengikut keadaan dan masa ilmu disampaikan. Jika mentor ilmuwan bahasa, maka penekanan tentu pada kekuatan aspek bahasa ketika berkarya. Kalau mentor agamawan, lazimnya tulisan akan ditanggapi sebagai saranan atau alat dakwah, seperti maksud hadis daripada riwayat al-Bukhari dan al-Tarmizi: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”

Dalam pada itu, kebitaraan Malim adakalanya sukar dijangka. Dia pernah mengingatkan kawan-kawan sepersatuan, “Kita mesti melihat usaha kita secara holistik. Mana boleh kita utarakan pandangan kita hanya dari satu sudut. Agama kita sifatnya menyeluruh, syumul. Jadi, tulisan sebagai alat untuk menyampaikan misi berdakwah, bukan hanya mesti menyampaikan kebenaran menurut tuntutan agama, tetapi cara penyampaian itu sendiri mesti terampil, termasuk bahasa sebagai media atau wahana.”

“Cikgu Malim, kata-kata yang mantap itu bolehlah ditulis untuk majalah atau akhbar,” Khairul lantas memberikan reaksi spontan.

“Alahai, Khairul! Saya bercakap dengan kawan-kawan di sini bolehlah. Kalau saya tulis siapa nak baca? Kebanyakan tulisan dalam majalah dan akhbar itu tinggi benar arasnya, tak tercapai oleh kita yang biasa-biasa ini.”

****
Apabila mulai menjengah ke dunia persaraan, Malim semakin bijak mengisi masa dengan menjayakan hobi berkarya. Malim melihat Jasni juga tiada apa kurangnya, hanya usianya dua tahun lebih muda daripada Malim.

Yang berjarak usia ialah Khairul, Syirah dan Norain. Mereka anak muda, namun tidak kekok mendampingi warga emas atas nama permuafakatan sepersatuan.

“Akhirnya, berjaya juga saya mengumpul fakta dan mengolahnya menjadi makalah ekopelancongan dengan gambarnya sekali.”

Khairul tidak berlengah-lengah lagi mencoretkan ucapan tahniah sambil melekatkan emoji jari yang bermaksud jempolan. Norain, Syirah dan Jasni menyusulinya dengan melekatkan emoji cinta. Demikianlah citra komunikasi mutakhir, turut mewarnai permuafakatan persatuan.

Syirah menambah pula coretan pada WhatsApp persatuan dengan mencatat “Cikgu Malim, cubalah hantar karya ke majalah sastera.”

“Puan Syirah, majalah sastera ini jauh lebih tinggi arasnya daripada majalah pelancongan. Saya belum berani mencuba.” Malim entahkan tulus, entahkan berhelah, sukar dijangka. Mungki sengaja merendah diri untuk kemudiannya tampil membuat kejutan pula.

“Cikgu memang boleh, sengaja buat-buat tak mahu!” Syirah memintas kata-kata Malim.

Sebelum tidur malam itu, Malim mencoretkan sesuatu yang dapat menceriakan lagi suasana dalam kalangan warga persatuannya.

“Saya sudah ada idea untuk digarap. Tajuknya mungkin datang kemudian. Saya nak ulas tentang keberhasilan kerja swaterbit dengan keupayaan terbatas.”

Tidak lama selepas catatan itu dibuat, terlihat emoji jempolan. Ternyata Khairul yang memberikan emoji itu. Malim senang melihat reaksi anak muda itu.

Malam itu, Malim beristirahat dengan kerangka idea tentang kemajuan hasil kerja perbukuan untuk dimuatkan dalam majalah sastera idaman hati itu. Fikiran Malim berbolak-balik, adakah makalah itu diterima? Jika diterima, siapa yang membacanya? Jika ada pembaca, adakah antara pembaca itu sudi memberikan respons? Dalam kekalutan itu, Malim terlena akhirnya.

****

Pagi Ahad yang tenang seusai hujan renyai pertengahan Mei, Jasni memberhentikan keretanya di hadapan rumah Malim. Begitulah keprihatinan seorang sahabat, sanggup menjemput kawan hanya disebabkan keselesaan bergebang perihal dunia penulisan dan perbukuan. Sementara menunggu Malim, Jasni menyemak status kemajuan hantaran karya puisinya di media sosial.

Baru setengah jam hantar sudah ada 10 rakan media sosial yang menyantuni puisi pendek Jasni. Khairul dan Syirah mencoretkan ucapan tahniah. Jasni tersenyum melihat sambutan oleh rakan-rakan media sosialnya.

Seketika kemudian, Malim muncul di pintu pagar.

“Maaf, Jas, terlewat sedikit. Sudah tiba di muka pintu, aku berpatah balik. Kunci pagar tertinggal di bilik tadi.”

“Tak apa, baru saja sampai. Kalau telefon tercicir di rumah, baru penantian terasa lama.” Jasni mengukir senyuman.

“Betul, aku setuju. Peranti kita macam kawan sejati, mesti ada di tangan sepanjang masa. Begitulah fenomena!”

“Kita nak bersarapan di mana?”

“Jom kita ke Jalan Hang Tuah.”

“Tiada masalah. Yang penting, agenda kita berhasil!”

Pada hujung minggu, jalan sekitar kota tidaklah sesibuk hari-hari biasa, sementara parkir juga mudah didapati.

“Kota kita ini mendapat penarafan bintang yang tinggi sebagai kota sejahtera. Kalau hari biasa, mungkin markah sekadar lulus kot!”

“Aku setuju penilaian kau, Malim. Bijak kau letakkan penilaian begitu. Mana tidaknya, setiap persimpangan lampu isyarat, kenderaan tak pernah berderet pendek!”

Jasni dan Malim memasuki kedai makan. Suasana tenang di kawasan persekitaran menjadikan kedai makan itu tempat tumpuan pengunjung, termasuk anak-anak muda dari sebuah universiti awam.

“Kalau Jali dan Pak Usof lambat tiba, tak jadi masalah, Jas. Inilah gaya kita berpersatuan. Dengan bersembang, selesai masalah. Dengan ber-WhatsApp juga, berlangsung komunikasi sesama kita. Kemajuan teknologi ‘kan…”
“Cikgu Malim, teknologi, teknologi juga. Yang positifnya memang banyak, namun sebaliknya juga ada, pandai-pandailah kita menyaringnya.”

“Memang Jas, semuanya bergantung atas kebijaksanaan kita. Nak pilih yang mana, ikan di dalam kolam atau ikan di dalam tasik?” Malim tergelak tatkala menuturkan kata-kata itu.

“Kedua-duanya ditolak, aku pilih ikan di pasar saja,” Jasni membalas, disusuli ketawa.

Kira-kira setengah jam kemudian, Pak Usof dan Jali sampai. Agenda bual bicara tentang pengkaryaan diteruskan dengan lebih ceria. Dengan kata lain, hubungan persahabatan tanpa mengira faktor usia merupakan rencah bagi memajukan persatuan.

“Walaupun tiada premis khas, urusan persatuan beres juga!” Malim mempertahankan reputasi persatuan. Dia menyambung lagi, “Isu persatuan tiada premis sudah klise. Kita ada kekuatan lain, mungkin kita ada ramai penulis berbakat, termasuk anak muda seperti Khairul, Syirah dan Norain.”
“Betul, Cikgu Malim, dalam sebulan, boleh dikatakan setiap minggu ada saja karya penulis kita tersiar, bukti kerajinan mereka.” Jali tersenyum.

****

“Cikgu Malim, perasan tak, peranti kita seolah-olah mendidik kita supaya menyenangi kandungan dalam media, termasuk video, teks, lagu dan iklan.” Jasni sekadar mengutarakan persoalan ringan ketika memandu untuk menghantar Malim pulang ke rumah.

“Kandungan peranti bermotifkan perniagaan, sambil menyampaikan khidmat kemasyarakatan, termasuk hal-hal agama, pendidikan, ekonomi, perundangan, dan lain-lain.” Jasni cuba menghuraikan pandangan Malim.

“Kalau iman kita rapuh, sesetengah kandungan dalam peranti itu memang dengan pantasnya akan dapat melemahkan jiwa dan fikiran. Mungkin kita akan bercakap, kita mahu menjadi segala-galanya, seolah-olah tiada batas,” Malim mengulas.

“Pokok-pangkalnya ketahanan diri kita semua, betul tak?” Jasni merumuskan.

“Tepat, Jasni. Kalau kita ikut semua kehendak peranti, kita terasa ingin menjadi segala-galanya.” –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×