KUALA LUMPUR: Malaysia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan 107 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024 kelolaan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Paris berbanding tempat ke-73 tahun sebelumnya.
Kedudukan itu sekali gus menyaksikan Malaysia tidak lagi pada kedudukan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN apabila dipintas oleh Thailand yang berada di tangga 87.
Kejatuhan itu menurut indeks tersebut, berpunca daripada tindakan kerajaan menyekat laman berita yang mengkritik kerajaan.
Dalam senarai tersebut, Malaysia dalam kelompok negara seperti Maldives (106) dan Burundi (108).
Malaysia bagaimanapun berkedudukan lebih baik berbanding kebanyakan negara ASEAN lain iaitu Indonesia di tangga 111,
Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).
Indeks RSF melibatkan 180 negara dan berperanan sebagai badan antarabangsa yang memantau kebebasan media di seluruh dunia. – UTUSAN










