PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menggempur sebuah restoran di Bandar Baru Sri Petaling dekat sini semalam, dipercayai menjadi ‘lubuk’ pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapatkan pekerjaan.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, terdapat beberapa warga asing tanpa izin melarikan diri, selain tidak mengaku pekerja di premis berkenaan bagi mengelak dicekup.
Selepas ditahan, ada antara mereka merayu hingga menangis agar tidak diambil tindakan lanjut.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dalam serbuan Op Belanja itu, pihaknya menahan sembilan warga Myanmar dan dua Indonesia, termasuk lapan wanita
“Turut ditahan warga tempatan yang juga majikan kepada warga asing terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sinim, hari ini.
Tambah beliau, kesemua tangkapan berusia 20 hingga 45 tahun dibawa ke Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut. – UTUSAN










