HRD Corp taja 1,000 lesen E, GDL

HRD Corp taja 1,000 lesen E, GDL

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bakal menawarkan 1,000 tempat kepada pemohon yang layak untuk mendapatkan latihan khusus bagi kelas lesen E dan lesen kenderaan barangan (GDL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia menerusi HRD Corp bagi membolehkan lebih ramai individu dilatih menjadi pemandu haulier (pengangkut) serta mendapat pulangan gaji lebih tinggi.

“HRD Corp akan menaja 1,000 tempat untuk melatih dan memberikan lesen E dan GDL kepada pemohon baharu. Mereka yang layak akan dilatih dan menjalani ujian di mana kosnya RM2,000 hingga RM3,000 yang akan ditaja sepenuhnya oleh HRD Corp.

“Kerajaan komited untuk melatih pemandu-pemandu haulier yang baharu dan ini sesuatu yang sedang kita laksanakan dengan harapan akan dapat menarik minat lebih ramai orang muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini. hari ini.

Lesen E melibatkan motokar berat tanpa muatan melebihi 7,500 kilogram manakala lesen GDL  untuk memandu mana-mana kenderaan berdaftar komersial yang digunakan untuk mengangkut barangan seperti lori, van dan kenderaan lain.

Media pada 9 Mei lalu melaporkan, Kementerian Pengangkutan merancang untuk bekerjasama dengan HRD Corp bagi menangani masalah kekurangan pemandu profesional dalam industri pengangkutan kerana ia boleh memberi impak besar kepada industri. 

Dalam perkembangan berlainan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan bakal melaksanakan satu inisiatif baharu iaitu membenarkan kenderaan penggerak utama kenderaan elektrik (EV) untuk berada di atas jalan raya dalam masa terdekat.

Menurutnya, pada ketika ini, Kementerian Pengangkutan telah menerima permohonan dari beberapa buah syarikat yang ingin menjalin kerjasama menerusi inisiatif tersebut.

“Mereka hendak jalankan (inisiatif) penggerak utama EV ini dan Kementerian Pengangkutan akan benarkan. Kita akan lancar tidak lama lagi supaya syarikat-syarikat logistik ini dapat adaptasi ke arah penggunaan penggerak utama EV ini,” ujarnya.

Katanya lagi, menerusi mesyuarat NLTF hari ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut membentangkan mengenai prospek peralihan tenaga boleh baharu yang boleh memberi impak yang baik kepada industri logistik.

“Kita juga mengalu-alukan syarikat industri logistik ini seperti gudang-gudang untuk memasang panel solar supaya mereka juga boleh menggunakan tenaga boleh baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN