KETIKA Radhi OAG tulis yang cara gadis pujaannya elektronik, Sang Musytari bermatahari-hari dan si gadis itu ekstraterestrial, berkarisma dan berilusi, apa yang dia fikir?
Ini bersama entah berapa banyak rangkap lirik lagi yang ditulis Radhi untuk OAG era Opera Radhi-O Friendly, Satelit Ink dan OrAnG merenyam macam miang buluh, menggedik-gedik melafaz kagum pada cinta hati.
Dan ia unik. Tak ramai yang buat. Ini bukan cerita lirik jiwang mengada yang dilafaz lembik, lemah dan cengeng.
Tak salah pun buat lagu macam itu tapi itu cerita lain. Ini tentang lirik romantis nakal, ucapan mengagung agung yang hiper.
Jenis yang berangan kalau dia jadi radio, semua jenis gelombang yang keluar adalah untuk kekasihnya. Macam dalam lagu PerMYsuri. Ini cerita pop yang renyamz.
RIWAYAT RENYAMZ
Saya tak pasti tapi mungkin Fathullah Luqman Yusof ada menginspirasi Radhi untuk menulis lirik sebegitu.
Fathul mendirikan antara kugiran indie rock terawal Malaysia, Spiral Kinetic Circus selain turut terlibat secara tak rasmi dengan kugiran indie rock lebih awal, Deflowered (ahlinya Joe Kidd, Azmir dan Ian John).
Saya perlu cari liriknya tapi lagu Iris oleh Spiral Kinetic Circus ada suasana renyam itu. Lebih jelas lagi, projek solo Fathul, Fathullistiwa Soundscapes boleh jadi definisi gaya pop renyamz yang saya maksudkan.
Album Romantikarat (nama album ini saja sudah kuat nak faham apa itu pop renyamz) penuh dengan puja puji kepada wanita.
Baris legendanya: “dari diri yang mahu attention darimu”. Diambil dari trek kedua Romantikarat, Sabar dan Dengar. Gaya sebegini mekar dalam balutan muzik indie rock/ pop.
Selepas Opera Radhi-O Friendly pada 2002, Satelit Ink (2003), Romantikarat (2005) dan OrAnG (2006), gaya itu pekat dalam projek solo Mohd Jayzuan, Love-Fi (2008) dan kugirannya, Free Love dengan album Feed Us With Yr Love (2008).
Saya fikir, selepas Pop n’ Roll (2015) oleh Mohd Jayzuan, gaya renyam tidak menjadi paksi mana-mana terbitan. Filokalis
(2021) dan Sanglirsari (2023) masih sangat romantis tetapi lebih sayu, kurang sesuai nak dikategori sebagai pop yang merenyam.
Terbitan baharu yang ada semangat itu mungkin Tanjong Bintang in D Major (2023) oleh Hacktick! tetapi ia lebih jelas dalam trek bonus Dog Days Diaries: A Self-Help Book (2018), Rusok Kiri.
Saya juga menanti terbitan penuh dari Aus et al. sebab Doa Jumaatku ada semangat itu, cuma perlu lebih gedik dan miang.
Mungkin susah sebab Aus pun dah beranak bini, macam tak kena. Perlu dijelaskan, ini bukan senarai hasil pemerhatian intensif. Mungkin ada yang tertinggal, kita boleh sama-sama
senaraikan nanti.
PECAH STEREOTAIP
Kesedaran tentang pop renyamz datang bersama pemerhatian saya pada gaya sastera alternatif era 2000-an.
Saya baca beberapa karya, khususnya dari Razaisyam Rashid dan Mohd Jayzuan. Mereka secara bebas menolak machoisme, bercerita tentang perempuan yang cantik dan keinginan mengurat perempuan rawak dalam elarti.
Penulis perempuan seperti Fazleena Hishamuddin dan Fynn Jamal pula lebih vulgar, seakan ada keinginan untuk memecahkan stereotaip jantina tetapi bukanlah dalam nada radikal.
Saya boleh samakannya dengan gaya renyam dalam lagu yang muziknya alternatif sebab akar alternatif yang lebih punk dan kadang kala politikal bertentangan dengan lirik gedik dan miang itu. Sebab sifat alternatif memang mahu keluar dari stereotaip dan kebiasaan.
Ia semangat yang sentiasa ada cuma bentuknya boleh berubah sebab stereotaip dan kebiasaan juga boleh berubah.
MIANG BERAMAI-RAMAI
RADHI OAG Ada beberapa lagi lagu yang boleh dikategori sebagai renyam, secara longgar, seperti puja puji Loque pada isterinya dalam Tiang Seri atau beberapa trek Butterfingers dalam Kembali (2008) seperti Maharani, Terus Terang dan Lengkap Semula.
Tapi nak dapat gabungan lirik dan melodi yang menggedik, merenyam dan miang seperti yang dibuat OAG, Mohd Jayzuan dan Fathullistiwa Soundscapes agak susah.
Lirik-lirik romantis tapi megah (macam gaya Anuar Zain) atau romantis tapi lemah (macam gaya kugiran-kugiran S) juga boleh jadi menarik tapi keunikan gaya romantis renyam sangat menambat hati saya, ketika ini.
Sebab itu saya harap ada pengkarya baharu, terutamanya yang muda muda dan sedang asyik meneroka cinta dapat menyambung riwayat itu.
Setakat ini, saya percaya pada Hyke Nasir tapi harapnya ada ramai lagi. Beramai ramai kita menjadi miang, nakal dan menghidupkan semula pop renyamz Melayu.










