Format baharu hafazan tidak jejas tumpuan peserta hafazan

Format baharu hafazan tidak jejas tumpuan peserta hafazan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perubahan format hafazan pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) kali ke-66 yang diperkenalkan kali ini tidak mengganggu prestasi para peserta.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya mendapati semua peserta berkemampuan dan berpeluang untuk pergi lebih jauh khususnya dalam bidang hafazan.

Menurutnya, keseluruhan penghafaz al-Quran boleh melaksanakannya dengan baik sekali sepanjang MTHQK dengan berjaya memberi jawapan dan menyambung bacaan secara tepat dan lancar sekali.

“Peserta terutama bagi kategori hafazan al-Quran berjaya melepasi cabaran baharu yang ditetapkan penganjur pada tahun ini.

“Mereka (peserta) berjaya menyambung potongan ayat tanpa disebut atau dinyatakan nombor ayat, juzuk dan muka surat seperti lazimnya.

“Kelainan tersebut dibawa pada tahun ini bertujuan meningkatkan lagi kualiti hafazan para peserta dan ternyata semuanya berjaya menguasai hafazan dengan baik sepanjang MTHQK diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.

MTHQK berlangsung di Auditorium Darul Makmur t dengan penyertaan 110 qari dan qariah, 29 peserta kategori tilawah manakala 81 hafazan.

Dalam pada itu, Hakim MTHQK, Datuk Ahmad Faizul Ghazali berkata, pihaknya berpuas hati dengan persembahan semua peserta yang memperdengarkan bacaan dan hafazan mereka.

Namun katanya, masih terdapat beberapa perkara yang kurang diberi perhatian oleh peserta iaitu dari sudut ketinggian vokal dan lagu.

“Sepanjang MTHQK berlangsung, mereka lebih mengutamakan sudut ketinggian vokal di dalam persembahan bacaan pada setiap lagu.

“Ketinggian suara itu kita tidak perlu sampai menghilang kemanisan dan kualiti suara walaupun tinggi tetapi kena jaga dari sudut kelunakan dan kemanisan,” katanya.

Semua peserta dinilai oleh barisan hakim diketuai Hakimah bersama 13 lagi hakim membabitkan tilawah dan 14 hakim hafazan yang cukup berkaliber serta berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Barisan hakim mengambil kira aspek kelancaran bacaan (fasohah), tajwid, tarannum dan hafaz lancar serta suara.

Sementara itu, johan MTHQK akan mewakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung dari 5 hingga 12 Oktober depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN