PONTIAN: Empat anggota polis dari Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Pontian, ditahan kerana disyaki terlibat kejadian peras ugut wang berjumlah RM8,700 pada 13 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, keempat-empat anggota berumur 27 hingga 58 tahun ditahan hari ini berikutan laporan yang dibuat oleh seorang lelaki malam tadi.
Katanya, mengikut laporan dibuat lelaki berusia 27 tahun itu, dia mendakwa telah didatangi empat anggota polis pada 13 Mei, pukul 1.00 tengah hari di rumahnya di Taman Saujana, Jalan Parit Semerah di sini.
“Setakat hari ini, siasatan diteruskan dengan membuat tahanan reman selama dua hari mengikut Seksyen 17 Kanun Prosedur Jenayah bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Mohammad Shofee, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya.
“ Keempat-keempat anggota ini belum ditahan kerja kerana masih dalam siasatan,” jelasnya.
Katanya, Polis Kontinjen Johor komited dalam menangani masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang melakukan jenayah,” tegasnya
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian hotline IPD Pontian 07-6869999 atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd. Anizan Mohamad@ Mohd. Zin di 016-3236741. – UTUSAN










