SHAH ALAM: Dua mahasiswa Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan kejayaan dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan ACCA Foundation in Accountancy (FIA).
Nur Ilhan Nurina Mohd. Oslan yang menduduki tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas kertas Audit and Assurance (AA) bagi peperiksaan ACCA.
Sementara seorang lagi, Muhammad Fawwaz Mohammad Masrin dari Kampus UiTM Tapah, Perak mengungguli kedudukan sama bagi program profesional ACCA FIA dan dinobatkan sebagai Top ACCA FIA Prize Winner bagi kertas Management Information (MA1).
UiTM dalam maklumannya memberitahu, pencapaian konsisten mahasiswa berkenaan memberikan impak positif, motivasi dan inspirasi kepada rakan-rakan siswa, keluarga, fakulti, universiti dan rakyat Malaysia secara amnya.
“Fakulti Perakaunan merupakan salah satu fakulti terawal di UiTM yang bermatlamat untuk menghasilkan lebih ramai akauntan bertauliah.
“Kini, fakulti telah mengorak langkah bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang tahun 2030,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, tahun lalu, tiga pelajar dari fakulti sama, Danish Zafran Bazam dari kampus Shah Alam, Julia Qiestyna Abu Zar dari Kampus Tapah dan Safwa Zamri dari Kampus Dungun juga berjaya menempa nama sebagai Top ACCA Prize Winner dan Top ACCA FIA Prize Winners.
Katanya lagi, Fakulti Perakaunan UiTM kini turut membuka peluang pengajian profesional perakaunan bagi pelajar lepasan SPM di UiTM Tapah dan Dungun selain Shah Alam. – UTUSAN










