PETALING JAYA: Cuaca panas melampau yang dijangka berterusan sehingga Julai ini boleh menjejaskan pengeluaran hasil pertanian negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, keadaan cuaca sekarang mampu memberi kesan buruk kepada hasil padi tahun depan.
“Cuaca sekarang ini mampu merencatkan pertumbuhan padi kerana suhu sesuai padi untuk tumbuh adalah sekitar 34 darjah Celcius tetapi sekarang sudah mencecah 37 hingga 40 darjah celcius,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, suhu terpanas di Malaysia iaitu 40.1 darjah Celsius yang pernah direkodkan di Chuping pada 1998 tidak mustahil berulang berikutan cuaca panas sehingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, pelepasan pengairan fasa dua dan tiga diharap dapat mengurangkan kesan cuaca panas kepada tanaman.
“Diharapkan juga agar musim kedua tiba lebih awal agar musim menuai dapat dijalankan pada Mac atau Febuari tahun depan.
“Jika cuaca panas terus berlaku maka semua pihak haruslah memainkan peranan untuk mencari solusi terbaik terutama pemain-pemain industri, kerajaan dan petani,” katanya. – UTUSAN








