PETALING JAYA: Sejumlah 10,160 pelajar yang tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 boleh memohon untuk melanjutkan pengajian di GiatMARA.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mara boleh membantu melatih kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi.
Menurutnya, GiatMARA menawarkan pelbagai tahap sijil kemahiran di 232 pusat seluruh Malaysia dengan syarat kemasukan hanya memerlukan 3M iaitu Menulis, Membaca dan Minat dalam bidang yang dipilih.
“Antara kursus yang mempunyai permintaan yang tinggi kursus teknologi automotif, pendawaian elektrik, masakan dan pramusaji , fesyen teknologi dan lain-lain.
“Dengan pensijilan GiatMARA, lepasan pelatih boleh meneruskan kerjaya sama ada terus bekerja, menjadi usahawan dan melanjutkan pelajar dalam bidang TVET sehingga ke peringkat tertinggi dan mendapat sijil professional,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sebagai contoh, Asyraf Wajdi berkata, pelatih yang hanya tamat tingkatan lima dalam bidang pendawaian elektrik boleh meneruskan pengajian sijil kompeten PW2 dari Suruhanjaya Tenaga (dua tahun) kemudian sijil kompeten PW4 (satu tahun) yang mampu mendapat tawaran pekerjaan bergaji dari RM2,000 ke RM2,700.
“Atau pensijilan chargeman A1 (dua tahun) yang menawarkan gaji bermula tahun RM3,000 sehingga RM4,000 kemudian pensijilan chargemen A4 (satu tahun) yang menawarkan gaji bermula RM3,500 sehingga RM6,000.
“Bukan itu sahaja para pelatih ini boleh menyambung pengajian ke Institut Kemahiran Mara (IKM) selama dua tahun di peringkat diploma dalam sijil chargeman B0 yang menawarkan gaji bermula RM7,000 dan boleh menaiktaraf pensijilan selama dua tahun ini ke peringkat chargeman B4 yang menawarkan gaji bermula RM12,000 hingga RM15,000.
“Secara keseluruhan, lapan tahun jangka masa bermula dari serendah GiatMARA dengan hanya syarat 3M (Membaca, Menulis, Minat) ini dapat membawa kejayaan buat pelatih sehingga mencapai gaji sebanyak RM12,000 ke atas dan bidang ini mempunyai permintaan pekerjaan yang tinggi daripada industri-industri,” katanya.
Pada masa sama, beliau menambah, GiatMARA juga telah mengenal-pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran termasuk bidang berteknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), internet kebendaan (IOT), kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan tenaga boleh diperbaharui (REV).
Katanya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama rapat dengan pemain-pemain industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA terjamin peluang pekerjaan.
“Malah GiatMARA sedang membuat kajian secara holistik semua programnya agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.
“Ini selaras dengan saranan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak-anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan,” katanya. –UTUSAN










