SHAH ALAM: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini dilaporkan bertambah baik dengan 58,082 atau 91.14 peratus berbanding 65,452 calon yang mendudukinya layak mendapat sijil.
Peningkatan tersebut adalah signifikan apabila jumlah calon peperiksaan itu menurun berbanding 2022 iaitu daripada 73,315 kepada 72,923 pelajar pada 2023.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr. Jafri Abu berkata, prestasi mengikut pencapaian calon pula seramai 2,005 pelajar memperoleh keputusan semua A (A+, A dan A-) iaitu 3.15 peratus.
“Ia meningkat berbanding 1,860 calon atau 2.94 peratus bagi SPM 2022. Sementara bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 8,362 calon (13.12 peratus).
“Manakala seramai 21,071 calon (33.06 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau Gred E semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 20,582 pada (32.57 peratus) pada SPM 2022. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 489 calon (0.49 peratus), katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, keputusan SPM 2023 secara keseluruhan menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 4.67 berbanding 4.80 pada 2022, perbezaan sebanyak 0.13 mata.
“Nilai GPN yang lebih mengecil menunjukkan pencapaian lebih baik. Perbandingan GPN. Pelaporan analisis keputusan peperiksaan SPM 2023 adalah berdasarkan semua calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak termasuk calon mengulang,” ujarnya.
Selain prestasi keputusan, jumlah calon tidak hadir pada peperiksaan tersebut juga menurun kepada 1,724 pelajar berbanding 2,387 pada 2022. Ketidakhadiran tersebut dikenalpasti berdasarkan status pelajar seperti berhenti sekolah, kemalangan, meninggal dunia, berada dalam tahanan polis atau penjara.
Bagaimanapun, Jafri memaklumkan paling ramai daripada mereka adalah yang tidak dapat dikesan.
Seramai 395,870 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan menerima keputusan peperiksaan hari ini.
Keputusan boleh diperoleh melalui sekolah masing-masing, pos bagi calon persendirian dan secara mesej pesanan ringkas atau secara dalam talian.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, jumlah pelajar yang mengambil subjek dalam kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti Fizik, Kimia, Biologi, Sains Tambahan atau Matematik Tambahan menunjukkan peningkatan signifikan.
Pada SPM 2023 seramai 64,764 calon mengambil subjek-subjek tersebut iaitu, Fizik (15,690 pelajar), Kimia (16,689), Biologi (11,534), Sains Tambahan (801) dan Matematik Tambahan (20,050).
“Kita di peringkat Selangor, sudah mencapai 39 peratus daripada overall keseluruhan (jumlah pelajar mengambil bidang STEM). Kalau tengok pada enrolmen 2023 kita sudah mencapai 45.7 peratus murid aliran STEM.
“Berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), empat mata pelajaran iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan menunjukkan peningkatan prestasi, sementara Fizik dan Kima adalah paling tinggi iaitu perbezaan 0.12 berbanding 2022.
“GPMP bagi mata pelajaran Fizik adalah 4.17 pada SPM 2023 banding 4.39 pada 2022, Kimia (4.93 berbanding 5.00), Biologi (4.27 berbanding 4.39) dan Matematik Tambahan (5.96 berbanding 6.07),” jelasnya. – UTUSAN










