PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, belum menyemak cadangan pelaksanaan sistem tangga gaji yang beberapa tahun lalu ini pernah dikemukakan penggiat industri seni tempatan.
Menurut setiausaha akhbarnya, Hanim Muhili, Fahmi disebabkan itu, belum boleh memberikan sebarang kenyataan kerana sedang sibuk membuat persiapan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Kuching, Sarawak.
“Kami belum tengok isu ini lagi. Buat masa ini, Yang Berhormat Fahmi belum boleh komen.
“Sekarang beliau sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis sambutan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Kuching, Sarawak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Fahmi diminta mengulas mengenai sistem pembayaran gaji dalam dunia seni tempatan yang antara 2015 hingga 2018 ini pernah di usulkan pengarah, Shuhaimi Baba kepada kementerian berkenaan.
Perkara itu juga pernah dipetik pelakon Vanidah Imran yang berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan tampuk kepimpinan kementerian tersebut pada masa sekarang.
“Cadangan tersebut merangkumi peringkat permulaan, membabitkan pengarah, penulis skrip, pelakon utama (lelaki) dan aktres.
“Saya harap kali ini kementerian berwajib realisasikan apa yang dicadangkan orang industri sebelum ini.
“Masalah royalti atau bayaran tidak setimpal akan terus membelenggu industri seni sekiranya tangga gaji tidak dilaksanakan,” luahnya.










