SUNGAI PETANI: Padah membuat pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan menyebabkan seorang buruh maut dalam keadaan ngeri apabila putus sebelah kaki digilis kereta dalam kemalangan di Kilometer 33.1, Jalan Alor Setar-Butterworth di Gurun, malam tadi.
Kejadian pada pukul 8.10 malam berlaku ketika mangsa, Ooi Kheng Lim, 65, sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Gurun ke Guar Cempedak.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dari arah hadapan tidak sempat mengelak motosikal mangsa yang membuat pusingan U.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa turut digilis kenderaan terbabit menyebabkan kaki kirinya putus selain cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Wan Azharuddin, motosikal mangsa remuk teruk di bahagian hadapan manakala kereta berkenaan kemek pada bonet selain pecah cermin hadapan.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mayat dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -UTUSAN










