PETALING JAYA: Golongan menengah bumiputera disaran mengambil risiko melibatkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya meninggalkan kerjaya makan gaji.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cabaran sosio-ekonomi terkini ialah untuk melonjakkan kelas menengah bumiputera mencipta nilai melalui perusahaan mereka sendiri.
Menurutnya, pihaknya mahu lebih ramai kelas menengah dan kumpulan profesional bumiputera menggunakan kepakaran dan daya cipta mereka untuk menceburi bidang perniagaan bernilai tinggi sebagai tuan punya dan majikan.
“Lebih ramai kelas menengah dan kumpulan profesional bumiputera yang memiliki perniagaan yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, lebih cepat pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara kerana bumiputera membentuk kumpulan terbesar di negara ini.
“Usaha ini memerlukan anjakan bersama. Kelas menengah bumiputera perlu mengambil risiko perniagaan dan beralih dari kerjaya makan gaji kepada kerjaya sebagai majikan,” katanya dalam hantaran di laman sosial semalam.
Justeru, Rafizi berkata, tiga agensi mandat bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi diberi amanah menyediakan ekosistem yang mengimbangi risiko dengan potensi yang boleh diteroka.
Ujarnya, Yayasan Peneraju telah diberi amanah untuk membina bank bakat profesional bumiputera, manakala Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menggalas cabaran menghasilkan syarikat saiz kecil dan sederhana bumiputera yang boleh bersaing dan berpotensi untuk diskalakan.
Selain itu, katanya, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) bertanggungjawab melonjakkan syarikat separa besar (mid-tier) bumiputera yang berpotensi disenaraikan di pasaran saham.
“Ketiga-tiga agensi ini telah diselaraskan untuk membina satu laluan yang sistematik untuk membolehkan negara menskalakan penyertaan dan pembangunan syarikat-syarikat bumiputera berpotensi tinggi.
“Saya bercita-cita untuk mengubah model kejayaan masyarakat, bermula dengan kelas menengah bumiputera, supaya bakat-bakat masa depan negara tahu bahawa mencipta nilai melalui syarikat sendiri adalah sama besar sumbangan dan kejayaannya dengan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang makan gaji di syarikat besar.
“Pada hari Isnin (esok), Kementerian Ekonomi bersama-sama Yayasan Peneraju, Teraju dan Ekuinas akan mengumumkan program-program khusus yang dibuka kepada bakat-bakat niagawan bumiputera untuk mencapai anjakan menskalakan agenda penciptaan nilai bumiputera ini.
“Jika ada kelapangan, sahabat-sahabat boleh hadir sendiri atau mengikuti liputannya di media sosial,” katanya. –UTUSAN











