MELAKA: “Saya tergamam apabila seekor buaya menerkam ibu kambing di Sungai Malim, Kampung Tengah,” demikian kata penggembala kambing, Muhammad Nuriman Ahmad, 24.
Katanya, dalam kejadian pukul 6.30 petang kelmarin, dia bersama dua rakannya sedang memerhatikan beberapa ekor kambing yang dilepaskan di tebing Sungai Malim, di sini untuk meragut rumput.
“Sewaktu sedang berbual dengan dua rakan yang kebetulan berada di tempat kejadian, saya ternampak seekor buaya besar sedang menghampiri tebing sungai.
“Tiba-tiba buaya itu menyambar seekor ibu kambing dan berenang ke tengah sungai. Saya tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa, hanya mampu menjerit ‘buaya makan kambing’, ‘buaya makan kambing’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Satu video berdurasi sembilan saat tular dalam laman sosial memaparkan buaya sedang menggigit kambing yang dirakam oleh penduduk Kampung Tengah.
Sementara itu, penternak kambing, Muhammad Hafiz Haiqal Abdullah, 28, berkata, ia adalah kejadian ketiga ternakannya dibaham buaya.
Menurutnya, dua kejadian sebelum ini berlaku pada Februari dan Disember tahun lalu.
“Saya dimaklumkan pekerja, seekor ibu kambing yang sedang meragut rumput di tebing Sungai Malim disambar buaya yang sangat besar dengan panjang dianggarkan tiga meter lebih.
“Sudah menjadi rutin harian lebih kurang pukul 4 petang, saya melepaskan 20 ekor kambing meragut rumput di tebing sungai. Saya minta pihak bertanggungjawab bertindak kerana bimbang ia mungkin menyerang penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN










