DUNGUN: Selepas dua ekor buaya muncul di Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus dan Pantai Kekabu, Marang, minggu lalu, seekor lagi buaya dikesan berenang berhampiran benteng pemecah ombak berhampiran muara Kuala Paka, semalam.
Video kelibat reptilia itu dirakam seorang individu yang kebetulan berada berhampiran benteng pemecah ombak tersebut, menggemparkan orang ramai terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Paka.
Video berdurasi 16 saat itu turut menunjukkan ‘sang bedal’ tersebut sedang berenang ke arah laut.
Salah seorang pemancing, Ahmad Nazri Zakaria, 45, berkata, penemuan buaya itu adalah kali pertama dan membimbangkan pemancing serta orang ramai.
“Kita harap buaya ini berenang jauh sebab saya selalu memancing di sini, memang tak pernah jumpa buaya.
“Bila dah tahu ada buaya, kita kena lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ahmad Nazri berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab memainkan peranan memantau buaya tersebut berikutan kawasan pantai itu sering dikunjungi orang ramai terutamanya pada waktu petang. – UTUSAN










