KUALA LUMPUR: Sebuah spa dan sauna yang beroperasi di kompleks membeli-belah Suria KLCC, di sini, dilaporkan hangus terbakar malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memberitahu, mereka menerima panggilan kecemasan kebakaran pada pukul 11.34 malam.
Ekoran itu anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, BBP Pudu, BBP Keramat dan BBP Hang Tuah telah digerakkan ke lokasi kebakaran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, PgKB I M. Fatta M. Amin mengesahkan kebakaran itu melibatkan sebuah bilik spa dan sauna di Babel Suria KLCC di tingkat satu.
“Ketangkasan serta kepantasan pasukan bomba telah berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak ke unit lain.
“Kebakaran terbabit menyebabkan bilik spa dan sauna itu musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat di dalam kebakaran. – UTUSAN










