Bertugas berbumbung langit, suhu 52 darjah Celcius jadi cabaran

Bertugas berbumbung langit, suhu 52 darjah Celcius cabaran Unit Peronda Tabung Haji

UNIT Peronda Tabung Haji berkumpul untuk pemeriksaan sebelum memulakan tugas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Demi memastikan keselamatan 31,600 jemaah haji Malaysia, anggota barisan hadapan perlu bertugas di bawah terik matahari dengan suhu mencecah 52 darjah Celcius.

Bilangan mereka tidak ramai iaitu 18 orang untuk menjaga keseluruhan jemaah haji Malaysia dengan berperanan memantau perjalanan pergi balik di sekitar Masjidil Haram.

Namun kumpulan kecil yang membentuk Unit Peronda Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menggunakan pengalaman dan kekuatan mental serta fizikal masing-masing dalam membantu jemaah lain beribadat dengan tenang dan selesa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Unit Peronda, Inspektor Mohamad Amer Jawahil berkata, tugas unit peronda 24 jam sehari dengan mempunyai tiga shif iaitu bermula pukul 7 pagi, 2 petang dan 10 malam.

“Terdapat lapan lokasi di sekitar Masjidil Haram yang ditempatkan unit peronda antaranya di pintu Marwah, pintu Babussalam dan King Fahd serta lima lokasi lain.

“Justeru banyak cabarannya. Malah, anggota perlu berjalan kaki setiap kali bertugas dengan tiada kenderaan disediakan. Anggaran kasar bagi setiap anggota kita berjalan lapan kilometer (km) setiap hari. Di samping anggota juga perlu berdiri dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Amer berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan untuk musim haji 1445H/2024M terus diperkemas dari semasa ke semasa untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk musibah sebagaimana kejadian kren tumbang serta rempuhan Mina.

Katanya, banyak perkara penting dipelajari pada masa itu yang boleh digunakan demi kepentingan jemaah haji pada musim ini serta masa akan datang.

“Sekiranya ada perkara tidak diingini berlaku, kita akan mengadakan rawatan awal dan kemudian hubungi unit perubatan untuk membantu,” katanya.

Sementara itu, katanya, sepanjang tempoh seminggu ini tiada jemaah haji dilaporkan hilang.

Menurutnya, cuma hanya lapan kes jemaah haji tersasar ke bangunan penginapan lain berdasarkan rekod pusat khidmat pelanggan.

“Namun kes ini telah selesai, kita sudah membawa semula jemaah ke penginapan yang asal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini