Bersatu Perlis nafi wujud pergolakan dalam PN Perlis - Utusan Malaysia

Bersatu Perlis nafi wujud pergolakan dalam PN Perlis

ABU Bakar Hamzah (duduk, emapt dari kiri) bersama ADUN Bersatu menunjukkan akujanji taat setia kepada parti yang ditandatangani di Hotel Brasmana, Kuala Perlis, Perlis. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri menafikan wujudnya pergolakan di dalam Perikatan Nasional (PN) negeri susulan kontroversi membabitkan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Pengerusinya, Abu Bakar Hamzah berkata, parti itu masih mempunyai hubungan baik dengan komponen PN dan pentadbiran kerajaan negeri malah segala percanggahan pendapat tidak menggambarkan wujudnya sebarang pergolakan dalaman gabungan ini.

Beliau berkata, gambaran yang dimainkan seolah-olah wujud pergolakan dalaman serta kumpulan tertentu di dalam PN juga adalah tidak benar.

“Kami masih ada kerja dan tugas untuk membela parti malah gambaran sebegitu adalah tidak betul kerana kami masih dapat duduk sekali serta mempunyai semangat untuk bersatu,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Brasmana, di sini, semalam.

Terdahulu, Abu Bakar bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu negeri turut menandatangani surat akujanji taat untuk setia kepada parti itu.

Akujanji tersebut ditandatangani susulan isu enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Mohd. Shukri Ramli dilaporkan telah diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Terdahulu, media turut melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis itu bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya juga menyangkal dakwaan yang tular di media sosial mendakwa beliau merupakan dalang kepada siasatan SPRM terhadap Menteri Besar serta anaknya itu.

“Memang ada unsur sabotaj dan laga-lagakan kami. Jadi bila satu cerita tular berkaitan saya membuat pengakuan konon melaporkan kes itu kepada SPRM, maka saya terus membuat laporan polis bagi menyangkal perkara itu dan menafikan itu perancangan itu,” katanya.

Tambah Abu Bakar, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mohd Shukri dan sentiasa menyokongnya selagi mana beliau memegang jawatan Menteri Besar.

“Dari segi kepimpinan kita akan teruskan sokongan (kepada Mohd Shukri) dan selebihnya kita serah kepada kuasa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya