APABILA Sarimah Ibrahim memilih untuk berkahwin dengan cucunda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar sekitar 10 tahun lalu, satu perkara yang sukar dilenyapkan adalah mengenai pandangan skeptikal sesetengah pihak terhadap dirinya.
Membawa gelaran Che Puan, Sarimah, kononnya dianggap tidak perlu lagi bersusah payah bekerja dan mencari sumber pendapatan lantaran sudah bergelar ‘orang kaya segera’ dan hidup pun semakin senang lenang.
Bagaimanapun, tanggapan salah itu disangkal molek oleh pelakon dan pengacara ini. Baginya, tiada istilah mahu hidup senang lenang atas harta dan kekayaan orang lain kerana selagi masih ada kudrat, mengapa tidak dia meneruskan kerjaya yang dicintai.
“Sebenarnya saya cukup sedar bahawa ada stigma tentang status sejak saya mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja. Ramai terfikir yang saya ini bila dah jadi Che Puan dan menganggap mungkin duit tidak lagi menjadi satu isu buat saya.
“Maknanya saya ini seakan tak perlu bekerja lagi. Harus anda tahu, kerjaya dan status saya sebagai seorang isteri, saya letakkan di kedudukan berasingan. Itu keputusan saya sendiri dan saya cakap pada suami, apa yang saya buat untuk kerjaya, itu adalah tanggungan saya.
“Sedikit pun saya tak berharap untuk dia tanggung sebab saya rasa tak adil. Ya dia seorang suami dan bapa kepada anak saya. Tetapi apa sahaja untuk inisiatif kerjaya seni, saya tak mahu menyusahkan dia,”katanya.
Sebagai contoh, kata Sarimah, ketika dia membuat keputusan untuk menyertai kelas lakonan intensif bersama Gerry Grennell di Ireland, kesemua kos pembelajaran ditanggung sendiri olehnya.
“Untuk menyertai kelas lakonan bersama Gerrry, tentunya kos tidak murah. Apalagi dia merupakan jurulatih terkemuka dunia yang pernah mengajar pelakon-pelakon Hollywood seperti Natalie Portman, Tom Cruise dan Heath Ledger.
“Satu jam sesi kelas, bayarannya sekitar RM1,500 ke RM5,000. Tetapi saya bersyukur kerana dia berbaik hati berikan pakej, jadi bayaran jadi murah sedikit. Kalau tidak, tak mampu juga saya.
“Itu pun saya pakai duit sendiri bukan bergantung kepada suami. Saya tak nak ambil kesempatan dalam perkahwinan. Itu sayalah, kalau orang lain saya tak tahu,”katanya.
Mengulas lanjut, kata Sarimah, dia juga bersyukur kerana suaminya sangat memahami keinginan dan kecintaannya terhadap bidang seni dan kerana itu sejak dari awal dia mendapat lampu hijau pada bila-bila masa seandainya hasrat untuk kembali dalam industri menjadi fokusnya.
Lalu menjawab mengapa Sarimah tidak menunggu lama untuk meneruskan kerjaya seni selepas agak lama berehat dan meletakkan fokus kepada kehadiran anak sulungnya,Sofia Najihah yang kini berusia enam tahun.
Satu perkara yang lucu, kata Sarimah, ketika dia kini sedang meledak dengan watak Qaidah menerusi drama arahan Erma Fatima, Lelaki Itu, boleh dikatakan, suaminya adalah antara peminat nombor satu.
“Kalau nak tahu, suami saya tengok setiap episod drama itu. Ada satu babak itu, agaknya dia macam terkesan dengan watak Qaidah, sampaikan tak mahu duduk dekat dengan saya.
“Kadang-kadang bila saya balik dari set dan mengadu penat, dia akan menyakat saya dan katakan ‘awak yang nak berlakon bukan?’. Tapi itu tak bermakna dia nak patahkan semangat saya. Cuma dia tahu isterinya ini sekadar mengadu sahaja tetapi suka dengan kerja yang dilakukan.
“Pendek kata, saya bersyukur suami beri keizinan untuk saya teruskan minat dalam bidang seni ini. Anak saya pun ada juga tengok drama itu. Cuma saya hanya benarkan dia tonton episod satu saja. Drama itu terlalu berat, tak sesuai untuk dia walaupun banyak juga soalan saya terima,”katanya sambil tertawa.
Tak mungkin ada lagi Qaidah
Sementara itu, ditanya adakah masih ada peluang untuk penonton dan peminat menyaksikan watak yang seakan sama dibawakan olehnya menerusi naskhah-naskhah lain jika ada, Sarimah ada jawapan tersendiri.
Baginya, meskipun sedar watak Qaidah mendapat banyak pujian kerana dianggap menjadi, amat mustahil untuk dirinya kembali mempamerkan persembahan yang sama pada naskhah yang berbeza.
Satu sebab, ujar Sarimah, dia mahu mengelak wujudnya perbandingan.
“Mana-mana kejayaan ia akan jadi satu cabaran. Dalam industri kreatif, kalau kita fokus itu sahaja ia akan memberi kesan kepada persembahan kita dan memudaratkan situasi. Ya memang Qaidah itu jadi satu fenomena tetapi saya kena realistik.
“Mewujudkan Qaidah, ia memerlukan masa, modal, tenaga pelakon-pelakon lain, pengarah, penerbit, tekanan di set dan sebagainya. Banyak faktor yang menyumbang kepada ‘menjadinya’ Qaidah.
“Namun untuk naskhah lain selepas ini lebih baik saya ambil watak berbeza. Nanti dibanding-bandingkan. Sebagai pelakon, saya tak boleh jamin apa yang kita buat akan jadi sebesar apa sebab macam saya katakan tadi, banyak faktor jadi penyumbang,”katanya.
Bagaimanapun, tentunya sebagai pelakon yang menjayakan watak Qaidah, dia berbangga dan bersyukur kerana peminat dan penonton menerima baik persembahannya itu.
“Kalau ada yang kata dia susah nak lupakan saya dengan watak Qaidah, tak mengapa. Macam aktor terkemuka Robert Downey Jr, dia sentiasa diingati dan dikenali sebagai Iron Man.
“Bagi saya, sesetengah watak memang lebih hidup daripada kita sebab orang dah selesa tengok kita begitu. Apa pun, aaya gembira dengan pujian ramai. Itu bermakna watak Qaidah ‘hidup’,”katanya.