KUALA LUMPUR: Advanced Defence Systems Sdn. Bhd. (ADS) mencipta sebuah unit stesen bersenjata kawalan jauh (RCWS), Advanced Weapon Station (AWS) yang boleh ditempatkan pada bahagian Kenderaan Ringan Mobiliti Tinggi (HMLV) Kenderaan Pembawa Senjata (WVC).
Senjata itu cetusan idea bekas anggota Tentera Darat Malaysia yang berkhidmat selama 25 tahun dengan kerjasama dan penggunaan sumber pengeluar peralatan asli (OEM) syarikat luar.
Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Teknikal, Leftenan Kolonel (B) Shane Chin berkata, cetusan ideanya itu mengambil masa lima tahun bagi proses penyelidikan dan pembangunan.
“Kita mulakan proses penyelidikan dan pembangunan tanpa sebarang peruntukan pada 2019 dan berdepan dengan cabaran Covid-19. Pada 2023 kita sambung semula selepas tergendala.
“Pada mulanya kita mulakan percubaan dengan input daripada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) untuk tembakan hidup (Live Firing) di Gemas.
“Daripada percubaan itu, kita dapati ada beberapa yang kurang dan tidak sempurna. Ia mengambil masa kira-kira satu tahun untuk kita perbaiki daripada versi pertama hingga yang terkini dengan penambahan ciri baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.
Menurut Shane, AWS itu boleh digunakan pada dua mod iaitu secara manual dan kawalan jauh mengikut situasi selain penambahan ciri giro (Gyro) memboleh senjata itu melepaskan tembakan dengan stabil pada kenderaan bergerak.
“Pada AWS ini, kita menambah baik dengan fungsi ‘Auto Trigger’ yang mampu melepaskan satu tembakan atau berterusan dan ‘Auto Cocking’ yang boleh mengawal mekanisme pencetus (triggering mechanism) melalui alat kawalan jauh berbanding sebelum ini yang perlu diurus secara manual.
“Namun, senjata ini juga boleh digunakan secara manual dengan menarik suis pada bahagian sisi untuk beralih kepada mod tersebut,” katanya.
Selain itu, Shane berkata, AWS tersebut boleh diprogramkan kelajuan peluru ditembak selain boleh menjimatkan peluru semasa menembak dengan bantuan sensor yang didatangkan ciri sasaran automatik.
“Keupayaan AWS ini boleh diprogramkan untuk mengawal jumlah butir peluru per saat yang mana kebiasaannya senjata ini menembak dengan 600 butir peluru seminit tanpa kawalan program.
“Senjata ini juga dilengkapi dengan kamera sensor pengimej haba (thermal imager) serta sensor siang dan malam yang merupakan antara pembaharuan canggih untuk pengguna menyasar semasa menembak.
“Dengan penggunaan kaliber 12.7x20mm, senjata ini mampu memberikan kuasa tembakan yang tinggi pada jarak antara 1,000 meter sehingga 2,000 meter,” katanya. – UTUSAN










