KUALA LUMPUR: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Taiping, Perak atas kesalahan merogol anak kandungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak berusia tujuh tahun.
Naratif kes pendakwaan menyatakan, mangsa yang juga menghadapi masalah pembelajaran (lembam) mengadu dirogol bapanya sekitar bulan Jun 2019 pada waktu malam ketika bulan Ramadan.
Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin menjatuhkan hukuman itu selepas mengurangkannya daripada 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Taiping pada 21 Jun 2023.
Beliau membenarkan rayuan lelaki berusia 50 tahun itu terhadap hukuman manakala sabitan dan perintah agar mengikuti sesi kaunseling ketika dipenjara serta tiga tahun pengawasan polis, dikekalkan.
Menurut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di bilik tidur rumah mereka di Kamunting di antara 1 Jun 2019 dan 30 Jun 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. Keterangan kes menyebut, kejadian berlaku pada waktu malam ketika mangsa dan adik lelakinya tidur dalam bilik berkenaan.
Meskipun bilik tersebut gelap, namun cahaya lampu dapur membantu remaja itu mengecam bapa dan suaranya ketika tertuduh mengangkat anak lelaki keluar dari bilik lalu merogol mangsa.
“Mangsa mengaku dirogol sejak berumur tujuh tahun dan tidak mengetahui perbuatan itu satu jenayah sehingga mempelajari mengenainya ketika kelas agama di sekolah sewaktu berusia 14 tahun.
“Remaja itu kemudian menceritakannya kepada seorang rakan yang kemudian memujuknya memaklumkan perkara itu kepada guru sekolah yang selanjutnya membawa mangsa membuat laporan polis di balai.
“Pakar psikiatri yang menjalankan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami penderaan seksual sejak berusia tujuh tahun dan mengalami trauma sehingga kerap mengalami mimpi buruk,” demikian menurut alasan penghakiman bertarikh semalam yang diperolehi pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Noor Ruwena turut berpendapat, lelaki itu mengemukakan pembelaan alibi yang lemah dengan mendakwa dia tidak berada di tempat kejadian kerana kerap keluar malam selain mendakwa anak kandungnya seorang pembohong dan bermoral rendah.
Bagaimanapun, mahkamah berpuas hati bahawa mangsa bercakap benar dan mampu mengingati semua peristiwa yang menimpanya secara terperinci dan menggambarkan perlakuan seksual secara eksplisit meskipun dikategorikan sebagai remaja lembam.
Sehubungan itu, beliau berpuas hati pembelaan tertuduh bahawa anak kandungnya seorang yang tidak bermoral, merupakan penafian semata-mata dan sukar dipercayai.
Namun demikian, Noor Ruwena berpendirian, hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen adalah keterlaluan selepas beliau mengambil kira tertuduh pesalah pertama dan mempertimbang keterangan dan keseriusan kes. – UTUSAN










