Balu kakitangan KTMB ditemukan tinggal rangka terima manfaat Perkeso

Balu kakitangan KTMB ditemukan tinggal rangka terima manfaat Perkeso

AZLIZA Aziz menerima manfaat Perkeso yang disampaikan Suhaimizan Bizar (dua, kiri) dan Mohd. Iqbal Mohamed (kiri) di rumahnya di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan, Tampin, Negeri Sembilan, semalam. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Balu Muhamad Syafiq Salehin, 32, yang ditemukan dalam keadaan tinggal rangka di ladang kelapa sawit, Felda Sungai Kelamah, Gemas bulan lalu, menerima Faedah Pencen Penakat bernilai RM1,210 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Faedah berkenaan disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Ketua Pusat Satelit Perkeso Kuala Pilah, Mohd. Iqbal Mohamed.

Balu arwah, Azliza Aziz, 30, berkata, dia tidak terfikir langsung akan menerima manfaat Perkeso dan terkejut apabila dihubungi kakitangan agensi itu yang memaklumkan caruman arwah suaminya layak untuk menerima manfaat.

“Syukur alhamdulillah. Ada pendapatan untuk besarkan anak-anak. Saya tidak tahu hendak gambarkan macam mana kerana saya tidak bekerja dan hanya mengusahakan surprise delivery (perkhidmatan penghantaran hadiah secara mengejut) secara kecil-kecilan.

“Walaupun arwah suami sudah tiada, saya masih melaksanakan tanggungjawab demi tiga anak lelaki berusia lima hingga lapan tahun. Rezeki arwah ada untuk anak-anak yang sememangnya sangat rapat dengan arwah,” katanya ketika ditemukan pemberita di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan, di sini semalam.

Untuk rekod, arwah Muhamad Syafiq dilaporkan telah keluar rumah pada 25 Mac lalu dari kediamannya untuk bekerja seperti biasa dan didapati telah hilang sehinggalah rangka arwah ditemukan di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah pada 29 April lalu.

Rangka berkenaan disahkan milik Muhammad Syafiq berdasarkan keputusan ujian DNA yang dijalankan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN