SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipanggil untuk memberi keterangan susulan terdapat laporan kebocoran maklumat daripada anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beliau menafikan siasatan dibuat terhadap perkara-perkara dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu seperti dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Februari lalu.
Menurutnya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan berikutan terdapat maklumat berkaitan PKNS didakwa dibocorkan dan didedahkan beberapa perkara yang tidak tepat kepada umum.
“Siasatan dimulakan ekoran satu laporan polis pada 14 Mac lalu oleh seorang pegawai PKNS yang mendakwa dokumen sulit perbadanan tersebut dibocorkan dan beberapa maklumat yang tidak tepat didedahkan kepada umum.
“Perkara tu dikhuatiri boleh menjejaskan imej serta nama baik PKNS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Hussein, polis sudah pun memanggil seramai 15 saksi dan dirakam percakapan mereka.
Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendedahkan beliau diarah ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah kerana dipercayai berhubung perbahasannya dalam Sidang DUN Selangor pada Februari dan Mac lalu.
Bagaimanapun, beliau enggan berbuat demikian kerana mendakwa notis diterimanya itu tidak berperlembagaan dan mengarahkan peguamnya membuat permohonan semakan di Mahkamah terhadap notis tersebut.
Ini kerana, tindakan tersebut dianggap sebagai bertentangan dengan imuniti diberikan kepada ADUN seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Dalam pada itu, Hussein Omar menjelaskan Mohamed Azmin dipanggil untuk direkodkan keterangannya di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan PKNS di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
“Barang siapa yang mendedahkan apa-apa maklumat atau perkara yang telah diperolehi olehnya dalam pelaksanaan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis.
“Sehubungan itu, Polis Selangor menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat sehingga siasatan polis selesai dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN










