Apa nasib 24,000 calon tidak layak terima sijil SPM tahun 2023

Apa nasib 24,000 lepasan SPM 2023 tidak layak terima sijil?

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan (tengah) selepas sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 24,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak layak menerima sijil.

Jumlah itu selepas mengambil kira hanya 93.5 peratus daripada 373,525 calon layak me­nerima sijil SPM.

Bagaimanapun, angka itu menunjukkan penurunan berbanding lebih 30,000 atau 8.4 peratus calon SPM 2022 yang tidak layak mendapat sijil.

Mengulas perkara itu, Setia­usaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, angka itu masih dalam kategori membimbangkan kerana penurunannya tidak begitu ketara.

Katanya, ini kerana kementerian didakwa menjanjikan untuk menjalankan kajian bagaimana menyelesaikan isu calon tidak hadir peperiksaan SPM dengan calon tidak mendapat sijil.

“Jadi macam tidak ada sebarang tindakan berkesan. Oleh itu, perlu ada satu tindakan yang jelas bagaimana mahu bantu mereka. Mereka sudah lepas sekolah dan berada dalam keada­an tidak tahu ke mana, kasihan sebab mungkin ada yang miskin.

“Saya berpandangan, tanggungjawab perlu dilakukan le­bih awal sebelum mereka dapat keputusan, apabila keputusan sudah keluar…mereka sudah berada di luar sistem pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, seramai 349,297 calon SPM 2023 layak dapat sijil iaitu peningkatan 6,555 calon berbanding 342,742 calon pada SPM 2022.

Selain itu, seramai 11,713 atau 3.1 peratus daripada 373,525 calon yang menduduki pe­periksaan SPM 2023 memperoleh keputusan semua A.

Jumlah itu meningkat 0.4 peratus atau 1,604 calon berbanding 10,109 calon bagi SPM 2022.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kementerian juga diharap dapat memberi tumpuan kepada murid yang hanya mencapai keputusan sekurang-kurangnya lulus.

“Kalau kita jumlahkan, ia mencapai mencapai 80 peratus dan angka ini tentu tidak menggembirakan kita kerana apabila anak-anak ini nak mohon masuk ke universiti.

“Kalau mereka hanya sekadar hanya lulus sahaja dan ada subjek yang gagal, jadi mereka sukar nak memohon masuk ke aliran atau bidang pengajian yang kita anggap penting serta memerlukan pencapaian akademik yang baik.

“Jadi kita melihat bahawa perlu usaha untuk memberi tumpuan kepada kumpulan murid yang berisiko yang cukup-cukup makan ini.

“Terutamanya dari aspek bagaimana memastikan mereka dapat ditingkatkan pencapaian mereka dan akhirnya masuk ke aliran yang penting di peringkat universiti,” katanya.

Beliau menambah, keputusan semalam bagaimanapun dianggap terbaik sepanjang 10 tahun selepas Gred Purata Nasional (GPN) adalah 4.6 serta jumlah calon yang memperoleh semua A melebihi 11,000 orang.

“Jadi, boleh dikatakan prestasi anak-anak kita pada 2023 adalah lebih baik kerana mungkin mereka telah pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

“Malah, usaha yang telah dilaksanakan kementerian untuk memulihkan kembali sistem pendidikan negara kita telah nampak berkesan, jadi keputusannya semakin baik semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd. Azizee Hasan berkata, pihaknya menggesa Kementerian Pendidikan segera menangani isu ketidakhadiran murid dalam peperiksaan SPM dengan lebih awal.

Katanya, ia melalui langkah pre-intervensi bagi memastikan kadar ketidakhadiran SPM dikurangkan.

“Jadi tidak perlu menunggu keputusan SPM baharu akan di ambil langkah intervensi. Kementerian Pendidikan perlu merangka pelan pemulihan bagi memastikan tiada murid keciciran dalam mengambil pe­periksaan SPM.

“⁠Keputusan ini juga menunjukan usaha proaktif Kementerian Pendidikan bagi menangani isu keciciran membuahkan hasil.

“Tinggal lagi bagaimana pencapaian ini membantu me­ningkatkan kualiti pendidikan negara di peringkat Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang perlukan langkah yang lebih tekal dan konstruktif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN