Aniaya Bella: Rayuan Siti Bainun diketahui hari ini

Aniaya Bella: Rayuan Siti Bainun diketahui hari ini

SITI Bainun Ahd. Razali diiringi pegawai Penjara semasa pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu. - UTUSAN/M.FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang didapati bersalah mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan pada 7 Mac lalu.

Pada prosiding hujahan, peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun selaku perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin yang bertindak sebagai responden.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 24 April untuk keputusan rayuan Siti Bainun, 32, namun tarikh itu dilapangkan dan ditangguh hari ini.

Siti Bainun merayu keputusan Mahkamah Sesyen pada 3 Mei 2023 yang memerintahkannya menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Perayu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tersebut. Hakim Izralizam Sanusi mendapatinya bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down itu.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000. Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN