Anggota polis berpangkat lans koperal dicekup miliki dadah - Utusan Malaysia

Anggota polis berpangkat lans koperal dicekup miliki dadah

MOHD. KHAIRI KHAIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis kontinjen Terengganu berpangkat lans koperal dicekup bersama dadah jenis pil kuda, syabu dan heroin bernilai RM8,600 di Paka, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, tangkapan terhadap anggota polis berusia 30-an itu dibuat Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Menurut Mohd. Khairudin, anggota berkenaan telah ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Satu serbuan telah dibuat oleh Cawangan Risikan/Operasi JIPS Bukit Aman terhadap seorang anggota kontinjen Terengganu berpangkat lans koperal kira-kira pukul 12.45 malam tadi.

“Turut dirampas bersama anggota terbabit ialah dadah jenis pil kuda seberat 110.87 gram (g), syabu (5.42g) dan heroin (0.11g) yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM8,600.

“Anggota tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia negatif bahan terlarang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Khairudin menjelaskan, siasatan lanjut kini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuala Terengganu.

Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu salah laku jenayah atau penggunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggotanya terutama di kontinjen Terengganu.

“Polis Terengganu akan meneruskan siasatan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang agar pesalah dapat dihadapkan ke mahkamah,” tambah Mohd. Khairudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN