Pengundi awal sudah beri gambaran sokongan

(ANALISIS) Pengundi awal sudah beri gambaran sokongan

Sebahagian anggota polis yang mengambil bahagian dalam undian awal Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUBAAN demi cubaan dalam kempen dilakukan khususnya daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam mempengaruhi 863 polis, tentera dan pasangan yang terdiri daripada pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu semalam.

Mungkin jumlah kumpulan itu tidak besar, sekitar dua peratus sahaja, tetapi sudah tentu ada parti mendakwa menguasai undi mereka, terdapat juga yang sudah pun berputus asa sejak beberapa hari sebelum pengundian awal.

Adakah ia dapat menjamin kemenangan? Persoalan tersebut hanya dapat dijawab pada hari pengiraan undi, Sabtu ini dan tidak keterlaluan ia menjadi petunjuk jika peratusan keluar mengundi rendah.

Hal demikian kerana, trend keluar mengundi dekat mana-mana PRK sebelum ini termasuk pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Kemaman, Pelangai, Pulai, Simpang Jeram mencatatkan peratusan keluar mengundi kurang 70 peratus, malah ada yang bawah 60 peratus.

Justeru, pengundian awal dalam kalangan pegawai dan anggota beruniform adalah harapan untuk ‘top-up’ kekurangan undi diperolehi parti yang menghampiri kemenangan jika undian berpihak kepada mereka.

Namun, persoalan kedua timbul apabila sejauh mana penguasaan parti-parti bertanding terhadap pengundi awal yang merupakan dalam kalangan penjawat awam dan pasangan yang sebelum ini dilabel sebagai deposit selamat parti kerajaan.

Bagaimanapun, semakan terhadap keputusan-keputusan dalam siri pilihan raya lepas, manifestasi ditunjukkan pengundi di Kuala Kubu Baharu amat mengejutkan terutama bagi Barisan Nasional (BN) sehingga menimbulkan persoalan seterusnya mengenai kemampuan parti itu menyumbang undi kepada calon Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana, pada PRU15 tahun 2022 bagi Parlimen Hulu Selangor, kumpulan tersebut dari Kuala Kubu Baharu dilapor memberikan kira-kira 250 undi kepada BN dan 455 kepada PN.

Namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu, BN menerima tamparan apabila tiada satu pun undi diberikan oleh kelompok tersebut kepada parti berkenaan, sementara undi kepada PN bertambah kepada 530, PH pula memperoleh kira-kira 140 undi, daripada 813 pengundi yang mengundi.

Berdasarkan trend peningkatan undi dalam kalangan pengundi awal, PN dilihat menerima peningkatan ketara dalam siri pilihan raya tersebut, begitu juga PH namun dengan margin yang rendah.

Oleh demikian, PN dilihat boleh menarik nafas lega dengan potensi tersebut, namun tidak boleh terlalu bergantung kepada trend tersebut yang boleh berubah kerana sedikit sebanyak pengumuman kenaikan gaji oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi kesan.

Walau bagaimanapun, situasi berbeza dilihat pada air muka pemimpin-pemimpin PH apabila disoal tentang penguasaan mereka terhadap pengundi awal, rata-rata tidak meletakkan harapan tinggi kepada tentera dan polis walaupun banyak ‘gula-gula’ diberikan kerajaan kepada kakitangan awam.

Kini kempen berbaki tiga hari menjelang hari mengundi pada 11 Mei yang mana parti-parti gergasi dilihat mengejar pengundi minoriti yang boleh menjadi kumpulan penunjuk kepada kemenangan mereka iaitu Orang Asli sekitar 1,900 orang.

Namun, gambaran awal PN meyakini kumpulan pengundi dalam kalangan komuniti tersebut selepas culaan dan bancian dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN