JERANTUT: Seorang peneroka Felda Jengka 24 di sini dan isterinya menyifatkan mereka memperoleh hadiah terbesar ketika sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci apabila anak pasangan itu berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, peneroka berkenaan, Razak Daud, 64, yang berada di tanah suci sejak 25 Mei lalu berkata, dia dan isteri, Halijah Abd. Jalil, 63, cukup terharu apabila dimaklumkan oleh anaknya, Muhammad Alimie tentang keputusan semua A diperolehnya.
“Tiada apa yang mampu saya dan isteri ungkapkan apabila menerima berita yang cukup gembira ini ketika kami berada di tanah suci.
“Lebih membanggakan, saya turut dimaklumkan bahawa anak saya merupakan pelajar pertama dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24 yang memperoleh keputusan 9A sejak sekolah tersebut dibuka pada 1984.
“Ia merupakan hadiah terbesar buat saya dan isteri ketika kami sedang menunaikan ibadah haji. Syukur ke hadrat Allah SWT apabila bukan sahaja menjemput kami ke Tanah Suci malah memberikan kejayaan kepada anak,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Razak berkata, dia dan isterinya berterima kasih kepada guru-guru di SMK Jengka 24 kerana mendidik dan meletakkan sasaran anak mereka memperoleh 9A SPM 2023.
“Sebelum berangkat ke tanah suci pada 22 Mei lalu, pengetua SMK Jengka 24 ada berjumpa saya dan meminta saya dan isteri berdoa supaya anak memperoleh 9A.
“Memang sejak sampai ke tanah suci, saya dan isteri setiap hari berdoa agar anak kami memperoleh 9A SPM 2023. Alhamdulillah doa kami dimakbulkan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Alimie berkata, keputusan 9A itu adalah hadiah cukup bermakna buat ayah dan ibunya yang sedang menunaikan ibadah haji.
“Terima kasih kepada ibu, ayah, para guru SMK Jengka 24 serta rakan-rakan yang banyak membantu dan memberikan sokongan. Tanpanya, saya tidak mampu memperoleh kejayaan ini,” katanya. –UTUSAN










